SUDAH biasa kita dimomokkan dengan kehebatan cerita aksi Hollywood yang memaparkan kisah pasukan khas Amerika Syarikat (AS) seperti US Navy Seal, SWAT atau US Marines.
Kita dipersembahkan dengan aksi penembak tepat, payung terjun, tempur jarak dekat, menyelamat tebusan dan pelbagai lagi menerusi lambakan filem dari negara berkenaan.
Seperti biasa, fahaman lazim hasil daripada tontonan filem-filem tersebut ialah kehebatan dan kekuatan pasukan khas AS merupakan yang terbaik di dunia.
Kalau semua kehebatan ada pada pasukan khas AS, bagaimana pula dengan kehebatan komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia(PDRM) ? Adakah mereka tidak hebat?
Jawapannya tidak.
Dua hari pengalaman tinggal dan melakukan aktiviti bersama komando Pasukan Khas Udara (Paskau) sudah cukup menceritakan pengorbanan serta kemampuan mereka dalam melaksanakan misi getir.
Semua 56 petugas media kagum dengan pengorbanan, kepakaran dan tanggungjawab yang dilaksanakan anggota Paskau.
Kami seronok melihat dan dapat melakukan aktiviti yang menjadi sebahagian rutin mereka sebagai anggota komando.
Walaupun apa yang kami lakukan itu hanya 10 peratus daripada kekerasan dan kepayahan rutin mereka, ia cukup untuk menceritakan tentang kehebatan mereka.
Malah pendakian dan aktiviti merentas halangan yang disediakan untuk kami juga boleh disifatkan ala-ala manja tanpa perlu memikul bebanan atau keperluan tempur sebagaimana yang mereka lalui.

Saya percaya bukit yang kami daki masih tidak setinggi gunung atau bukit lain yang mereka pernah tempuhi.
Begitu juga dengan pendedahan ikhtiar hidup dalam hutan. Begitu banyak ilmu yang dipelajari semua pengamal media terutama jenis-jenis perangkap yang digunakan untuk menangkap haiwan dan dijadikan sebagai makanan ketika darurat atau ketika dalam operasi.
Ada satu ketika kami seakan-akan tidak percaya dengan apa yang perlu dilalui anggota Paskau lebih-lebih lagi ketika mengikuti kursus asas komando Paskau untuk melayakkan mereka memakai beret biru.
Bayangkan hidangan seperti ular sawa, biawak dan tupai menjadi ganti kepada daging lembu, kambing atau ayam dalam satu-satu keadaan.
Malah saya sempat berbual dengan salah seorang anggota Paskau yang pernah menikmati daging biawak dan bangau.
“Daging bangau rasanya seakan-akan ayam. Kalau biawak, daging boleh tahan sedapnya. Itu pun biawak hutan.
“Kalau biawak yang duduk di longkang atau di kawasan kotor, baunya sangat hanyir,” katanya.
Kami turut ditunjukkan dengan beberapa jenis jerat untuk memerangkap binatang seperti landak, tupai dan pelanduk.
Kehebatan Paskau
Di samping itu, antara cabaran sepanjang 24 jam perlu ditempuhi peserta yang dibahagi kepada lima kumpulan ialah menembak senjata raifal M4 dan pistol, mendaki, latihan dan demonstrasi ikhtiar hidup, memasak menggunakan rangsum tempur ATM, latihan merentas halangan serta menara abseiling.
Petugas media juga turut didedahkan dengan tugasan, kepakaran dan peranan unit-unit kecil dalam Paskau oleh Pegawai Memerintah Paskau, Kolonel Muhammad Mustafa Omar.
Kami diberitahu bahawa Paskau turut dipecahkan kepada unit-unit kecil dengan fungsi tersendiri seperti skuadron Delta, Zulu, Siera, Xray dan Yankee. Malah setiap satunya mempunyai tugas tertentu seperti Maritime Para Rescue Team (MPRT) yang menyelamat tebusan, menanda sasaran dengan menggunakan Ground Laser Target Designator II (GLTD) untuk memusnahkan sasaran musuh.
Ia bertujuan bagi melaksanakan tugas pengeboman daripada pesawat udara berpandukan panduan sasaran laser seperti Paveway II LGB (bom panduan laser).
Menurut Muhammad Mustafa lagi, setiap anggota Paskau juga mempunyai pelbagai lagi kepakaran seperti tempur jarak dekat (CQB), perubatan medan, rigger (pelipat payung terjun), penyusupan udara, letupan, penyelam dan pertempuran bukan konvensional.
Bukan itu sahaja, Paskau juga terlibat dalam operasi ketenteraan selain peperangan (MOOTW) dan boleh diatur gerak setiap masa walau di mana saja.
Dalam pada itu, menurut Muhammad Mustafa, Paskau telah terlibat dengan 57 misi dan operasi sama ada dalam atau luar negara sepanjang penubuhannya sejak 1 April 1980.
“Misi mencari dan menyelamat (SAR) pertama kita terlibat ialah pada tahun 1986 iaitu ketika melibatkan pesawat Cessna di Lawas Sabah.
“Dan selepas itu kita telah menyertai pelbagai misi SAR lain seperti operasi SAR di Genting Sempah melibatkan pesawat Nuri pada tahun 2007,”katanya.
Tambahnya, peranan Paskau juga bukan hanya sekadar melibatkan misi dalam negara tetapi turut berkhidmat di luar negara.
Antara misi-misi yang pernah melibatkan Paskau termasuk Batalion Malaysia (Malbatt) di Lubnan dan Ops Fajar di Teluk Aden.
Hapus jurang
Panglima Rejimen TUDM, Brigedier Jeneral Mohd. Zairul Hisham Muhamad Ibrahim berkata, penganjuran acara seumpama ini secara tidak langsung dapat menghapus jurang antara pihak tentera dan orang awam.
“Sekiranya ada jurang sekalipun, kita mahu orang awam masih faham apakah tugas-tugas yang dilakukan oleh kami.
“Paling penting mereka juga faham kami ada kalanya tidak tidur dan makan demi menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman,” katanya.
Tambah Mohd. Zairul, program sebegini yang diisi dengan pelbagai aktiviti secara tidak langsung dapat membentuk dan menambah ilmu pengetahuan kepada pengamal media.
“Ia dapat melatih pengamal media sekiranya ditugaskan di kawasan bergolak. Jadi, mereka yang terpilih untuk ditugaskan di tempat seperti itu tidak gentar dengan sebarang bunyi tembakan.
“Malah dengan adanya aktiviti rentas halangan untuk pengamal media, ia membentuk anda untuk menempuh apa jua rintangan. Untuk aktiviti menembak pula, kita adakan sebagai pendedahan supaya anda tahu menggunakan senjata.
“Justeru saya sangat berharap agar diadakan lagi satu hari nanti,” katanya.










