Putin sedia dengar cadangan Trump tamatkan perang Ukraine

Putin sedia dengar cadangan Trump tamatkan perang Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW : Russia bersedia mendengar cadangan Presiden baharu Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menamatkan perang di Ukraine.  

Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov berkata, Moscow dan Washington kini saling ‘bertukar isyarat’ mengenai Ukraine melalui ‘saluran tertutup.’ 

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada komunikasi itu dilakukan dengan pentadbiran semasa atau dengan Trump dan anggota pentadbiran baharunya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Russia bersedia mendengar cadangan Trump berhubung Ukraine asalkan ia melibatkan ‘idea untuk bergerak ke arah penyelesaian, dan bukan untuk terus membekalkan pelbagai bantuan kepada rejim Kyiv,” kata Ryabkov dalam temu bual bersama agensi berita negara Russia, Interfax. 

Sementara itu, di Kyiv, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha berkata, negara itu bersedia untuk bekerjasama dengan pentadbiran Trump.

“Perlu diingat Presiden, Volodymyr Zelensky merupakan antara pemimpin dunia pertama yang mengucapkan tahniah kepada Presiden Trump.

“Kami terbuka untuk bekerjasama lebih lanjut dan saya yakin matlamat bersama untuk mencapai keamanan yang adil akan menyatukan kita semua,” kata Sybiha.

Namun, timbul kebimbangan terhadap apa yang boleh diharapkan oleh Kyiv daripada pentadbiran baharu AS, apabila Trump berulang kali mempersoalkan bantuan AS kepada Ukraine, memberi janji samar untuk menamatkan perang, serta memuji Presiden Russia, Vladimir Putin.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan sebanyak 50 dron Ukraine telah dimusnahkan di tujuh wilayah Russia dengan lebih separuh daripadanya di wilayah Bryansk yang bersempadan dengan Ukraine. 

TAMATKAN PERANG ASIA BARAT 

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani menyuarakan harapan dalam panggilan telefon dengan Trump, agar beliau menunaikan janji untuk menghentikan perang di Asia Barat.

Di tengah perang yang melibatkan Israel di Gaza dan Lubnan, Sudani yang dilantik oleh blok politik pro-Iran berada dalam kedudukan sukar untuk memastikan negaranya tidak terjerumus dalam konflik tersebut.

Dalam panggilan tersebut, Sudani merujuk ‘kenyataan dan janji kempen Trump untuk berusaha ke arah mengakhiri perang di rantau ini,’ menurut kenyataan pejabat Sudani. 

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelaraskan usaha bagi mencapai matlamat ini,” tambah kenyataan itu.

Sekitar 2,500 tentera Amerika ditempatkan di Iraq sebagai sebahagian daripada pakatan yang dipimpin AS untuk memerangi kumpulan Daesh. 

Pangkalan yang menempatkan tentera Amerika sering diserang roket dan dron oleh kumpulan pro-Iran di Iraq, yang juga mengaku bertanggungjawab atas serangan terhadap Israel.

Baghdad telah bertahun-tahun mendesak Washington untuk memberikan garis masa yang jelas bagi pengunduran baki tentera pakatan tersebut.

AS dan Iraq mengumumkan pada akhir September, pakatan antarabangsa akan menamatkan misi ketenteraan mereka yang telah berlangsung selama satu dekad di Iraq dalam tempoh setahun, dan menjelang September 2026 di wilayah autonomi Kurdistan.

Namun, kenyataan bersama dan pegawai AS tidak menyatakan sama ada tentera Amerika akan kekal di Iraq selepas itu.

Dalam penggal pertama Trump sebagai Presiden, hubungan antara kedua-dua negara merosot selepas serangan dron AS pada Januari 2020 yang membunuh Jeneral Iran, Qasem Soleimani, ketua Pasukan Quds dan perancang operasi ketenteraan republik Islam di luar negara.

Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Abu Mahdi al-Muhandis, Timbalan Ketua Bekas Pasukan Paramilitari Iraq, Hashed al-Shaabi, yang telah diserap ke dalam angkatan bersenjata.

Sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas pembunuhan Muhandis, mahkamah Iraq mengeluarkan waran tangkap untuk Trump pada Januari 2021.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini