26 terbunuh insiden letupan bom di stesen kereta api Balochistan

26 terbunuh insiden letupan bom di stesen kereta api Balochistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUETTA: Insiden pengeboman di sebuah stesen kereta api di wilayah Balochistan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan pemisah Pakistan membunuh 26 orang termasuk 14 tentera, lapor jurucakap hospital.

Letupan kuat berlaku ketika penumpang menunggu di platform di stesen kereta api utama di ibu kota wilayah Quetta.

“Seramai 14 anggota tentera dan 12 orang awam terbunuh,” kata jurucakap Hospital Wilayah Sandeman Quetta, Wasim Baig.

Tambahnya, kira-kira 46 anggota pasukan keselamatan dan 14 orang awam turut cedera dalam kejadian itu.

Seorang wartawan AFP melihat tompokan darah dan beg galas yang koyak di tempat kejadian dengan kepingan logam besar yang melindungi penumpang turut musnah.

Seorang mangsa yang cedera, Mohammed Oumer berkata, dia berada di stesen itu untuk menaiki kereta api pulang ke kampungnya.

“Tetapi sebaik kami tiba, berlaku letupan dan ketika saya sedar saya mendapati diri saya cedera dan berada di hospital,” katanya kepada AFP.

Walaupun serangan kerap berlaku di Balochistan, letupan itu disifatkan antara terburuk  bagi wilayah barat daya yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran itu.

Letupan stesen kereta api tersebut berlaku sekitar puku 8.45 pagi (waktu tempat) dan Tentera Pembebasan Baloch (BLA) yang merupakan antara kumpulan pemisah utama kawasan itu mengaku bertanggungjawab.

“Serangan itu disasarkan ke atas unit tentera Pakistan di stesen kereta api Quetta selepas menamatkan kursus di Pusat Infantri,” kata BLA dalam satu kenyataan.

The Associated Press of Pakistan, memetik pegawai kereta api melaporkan, letupan berlaku berhampiran kaunter tiket ketika dua kereta api dijadualkan berlepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×