PRN Johor: Agihan kerusi PH-BN diselesai secara tenang

PRN Johor: Agihan kerusi PH-BN diselesai secara tenang

DZULKEFLY Ahmad (tengah) bergambar bersama kepemimpinan PH dan BN serta perwakilan pada Majlis Perasmian Konvensyen Amanah di Bandar Darul Aman, Kubang Pasu, Kedah semalam. – UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Parti Amanah Negara (Amanah) menaruh ke­yakinan sebarang isu ber­hu­bung pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diselesaikan secara tenang dan rasional.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, di sebalik pelbagai spekulasi berhubung ketega­ngan antara gabungan itu, Ama­nah tetap berharap untuk mengadakan rundingan demi kesejahteraan negeri itu.

“Saya tidak akan mengulas lebih lanjut, namun saya yakin dengan semangat kerjasama, pastinya boleh dirunding. Tiada perkara yang tidak boleh dirunding. Jadi saya harap dalam semangat untuk memajukan negeri dan negara, kepemimpinan BN dan PH akan bertenang dan rasional.

“Insya-Allah kita akan dapat melakukan penyusunan dan perkongsian dengan lebih baik, saya menaruh keyakinan dapat menyelesaikan (agihan kerusi),” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Amanah, di sini semalam.

Beliau mengulas tentang dak­waan penganalisis politik bahawa berlaku sedikit kete­gangan berhubung pengagihan kerusi di Johor bagi menghadapi PRN akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini membuat kenyataan bahawa pihaknya belum bersedia untuk mengumumkan sama ada kerjasama parti itu dengan PH dalam PRN berkenaan.

Kerajaan negeri BN ditubuhkan di Johor selepas gabungan itu memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada PRN 2022.

Kata Dr. Dzulkefly, pihaknya turut yakin kekuatan gabu­ngan tersebut di peringkat pusat mampu diterjemahkan kepada penyatuan di peringkat negeri.

Menyentuh konvensyen ter­sebut ujarnya, kepimpinan Amanah juga berkeyakinan BN dan PH Kedah mampu meng­gembleng tenaga untuk mena­wan semula negeri ini.

“Kita yakin kerajaan sekretariat Kedah akan datang menggembleng tenaga dan mendapatkan kekuatan untuk memberi khidmat kepada rakyat dahulu sebelum PRU16. Saya yakin semua akan buat persiapan yang sangat baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×