SEJAK akhir-akhir ini, terdapat kes kanak-kanak ‘hilang’ dari rumah. Namun selepas laporan polis dibuat, rupa-rupanya kanak-kanak terbabit berada di rumah kawan.
Dianggarkan terdapat dua kes kanak-kanak menghilangkan diri dalam sehari. Ia berpunca kerana ingin mencari kebebasan, mengikut kawan atau kekasih dan salah faham keluarga.
Pegawai Psikologi Kanak Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abd.Ghani berkata, daripada aspek psikologi, kanak-kanak berkembang secara fizikal, sosial, budaya, ekonomi dan latar belakang keluarga.

“Kes kanak-kanak yang menghilangkan diri dari rumah berlaku biasanya berikutan perkembangan sosio-budaya dan semangat ingin tahu serta mencari-cari identiti diri masing-masing.
“Ia juga sebagai tanda-tanda mencari keseronokan atau mungkin juga perlindungan bagi kes-kes negatif yang berlaku dalam keluarga atau kehidupannya. Kesemua faktor ini akan memainkan peranan penting dan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak,” katanya.
Tambahnya, keinginan mendapatkan kawan yang sealiran atau sefahaman juga menjadi faktor kanak-kanak lari atau menghilangkan diri dari rumah.
Selain itu, tidak dinafikan wujudnya faktor menolak dari dalam keluarga yang membuatkan kanak-kanak tidak selesa atau tidak seronok ketika bersama keluarga berbanding rakan-rakan.
Jika wujud faktor menolak seperti suasana tidak harmoni, pergaduhan, kecaman, kemarahan, prejudis atau bias, ini akan yang membuatkan anak-anak memendam rasa tidak puas hati, stress, sedih, kecewa atau marah.
“Akhirnya kanak-kanak akan bertindak keluar dari rumah dan pergi ke tempat yang diyakini mereka ada tarikan tersendiri yang bersifat sementara.
“Ramai ibu bapa tidak menyedari anak-anak mereka sebenarnya juga mahukan ruang untuk diri. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa peka dan beberapa perubahan anak yang boleh dilihat secara mata kasar,”katanya.
PERUBAHAN DIRI
Antara perubahan yang perlu diperhatikan adalah secara fizikal seperti menjadi ‘moody’, mudah marah, berat badan naik atau turun secara mendadak, gangguan pola tidur, lesu dan tidak bermaya.
“Perubahan emosi seperti mudah marah atau sedih, tidak boleh bergurau, mudah terasa, menangis dan pola emosi yang tidak menentu seperti gembira dan sedih yang berubah-ubah.
“Perubahan sosial seperti menyendiri dan mengasingkan diri, termenung dan nampak gelisah atau tidak suka ditegur, berubah menjadi pendiam atau lebih agresif atau seringkali beralasan untuk tidak ke sekolah, “ katanya.
Ibu bapa juga perlu memerhatikan perubahan corak berfikir anak seperti laras bahasa dan perkataan yang diluahkan sama ada bermaksud kecewa, risau,takut, bimbang atau marah. Sekiranya ibu bapa ingin memastikan anak meluahkan perasaan atau tertekan, ibu bapa perlu memperbaiki cara komunikasi dengan mengutamakan konsep komunikasi dua hala.
Ini bererti anak-anak diberikan peluang untuk berkongsi atau menyuarakan pendapat manakala ibu bapa menjadi pendengar yang baik tanpa menghukum dan respons negatif.
“Komunikasi dua hala ini perlu dipraktikkan sejak anak-anak kecil lagi supaya wujudnya rasa selamat dan penuh kasih sayang ketika berkomunikas.
“Keduanya, ibu bapa pula perlu menjadi peneman atau kawan kepada anak-anak. Tidak boleh menghukum atau menjadikan mereka sebagai subjek eksperimen terhadap apa yang ibu bapa kehendaki berbanding keperluan anak-anak. Temani mereka dan meneroka minat mereka supaya lebih akrab,” katanya.
Siti Fatimah berkata, perubahan hormon kanak-kanak yang mula memasuki alam remaja turut mempengaruhi cara mereka berfikir dan bertindak.
“Psikologi perkembangan manusia menegaskan setiap kanak-kanak itu mengalami perubahan personaliti apabila meningkat remaja. Perkembangan emosi, fizikal atau mental ini banyak dipengaruhi persekitaran sosial dan interaksi harian mereka dengan orang lain selain ahli keluarga.
“Kanak-kanak yang mendapat sepenuh perhatian, kasih sayang serta merasa selamat bersama keluarga bahagia mereka akan membesar dengan wujudnya empat hormon bahagia dalam otak yang disebut dopamine, soritonin, oksitosin dan endorphin, “ katanya.
Kesemua hormon ini terhasil daripada hubungan kekeluargaan yang mesra, makan minum yang terjaga, aktiviti fizikal yang sihat, tidur dan rehat yang cukup serta komitmen yang erat dalam kehidupan mereka.
JADI PENDIAM
Persekitaran sosial berkaitan kanak-kanak seperti hubungan dalam keluarga, rakan-rakan, guru-guru serta kegiatan harian membentuk pembawakan diri seorang kanak-kanak.
“Bagi kanak-kanak yang tiada aktiviti bermanfaat seperti pembabitan dalam aktiviri seperti bersukan, kelab atau hobi, maka mereka lebih banyak menghabiskan masa bersendiri berbanding bersama rakan sebaya.
“Ini dikhuatiri mempengaruhi mereka untuk perlahan-lahan mengasingkan diri dan bosan dengan hidup mereka serta terikat dengan pengaruh gajet atau mainan dalam talian. Akhirnya mereka lebih berminat menyendiri atau berhubung dengan rakan alam maya ,”katanya.
Membicarakan hal-hal seharian secara hati ke hati bersama anak supaya mereka sedar mereka mempunyai keluarga yang selalu menyokong dan memahami mereka walaupun sibuk.
“Elakkan mengkritik atau menghukum anak secara keterlaluan. Gunakan bahasa yang baik-baik sungguhpun ketika marah. Ibu bapa perlu belajar kemahiran keibubapaan serta psikologi anak-anak agar lebih bersedia dan matang dalam menguruskan anak-anak,” katanya.
TAHAP KEBEBASAN
Walaupun ibu bapa perlu mendengar luahan anak dan memberikan kebebasan menyuarakan pendapat, namun masih ada batasnya sesuai dengan agama dan budaya kita.
“Anak-anak perlu dijelaskan mengenai apa-apa larangan yang mereka perlu patuhi. Penerangan secara baik bagi memastikan mereka faham ia bukan hukuman tetapi sebagai langkah pencegahan.
“Hadkan masa dibenarkan kepada anak-anak jika ingin keluar bersama rakan-rakan. Pastikan anak-anak mendapat izin daripada ibu bapa atau perlu memaklumkan pergerakan mereka. Budaya ini perlu diamalkan dalam keluarga,” katanya.
Terdapat kajian menunjukkan bentuk rumah seperti flat yang sempit, mempengaruhi pembesaran dan cara anak-kanak berfikir dan turut menyumbang kepada masalah perkembangan personaliti anak-anak.
Namun jika ia tersekat disebabkan faktor ekonomi keluarga, maka tiada pilihan lain. Namun begitu, kebersihan dan kekemasan rumah amat penting bagi keselesaan.
Ibu bapa perlu bijak menyusun atur perabot dan pembahagian bilik-bilik agar kebajikan semua tetap terjaga sungguhpun rumah agak sempit. Susun atur dalam bilik tidur juga harus bersesuaian dan dibezakan antara anak lelaki dan perempuan.
“Antara ruang yang wajib dititikberatkan adalah bilik tidur, ruang tamu, dapur serta tandas. Ia harus bersih, kemas dan tersusun. Kebijaksanaan mengemas rumah adalah tip berkesan dalam menangani isu rumah sempit,” katanya. – UTUSAN










