MASAK lemak cili api atau ‘masok lomak lado api’ merupakan antara makanan tradisional yang popular dalam kalangan orang Melayu khususnya yang berketurunan Minangkabau di Negeri Sembilan.
Kebiasaannya, makanan itu dimasak bersama ikan, siput sedut, ayam, sayur-sayuran dan daging salai dan dinikmati ketika masih panas.
Selain Negeri Sembilan, masakan tersebut juga menerima permintaan yang tinggi di Lembah Klang terutamanya Kuala Lumpur dan selatan tanah air.
Di utara tanah air pula khususnya di Pulau Pinang, pengusaha makanan berkonsepkan masakan nogori itu boleh dibilang dengan jari sahaja dan jika ada sekalipun, ia hanya bersifat ‘sekadar ada’.
Bertitik tolak dari situ, seorang pengusaha restoran, Shamsul Munir Safini, 40, mengambil keputusan untuk ‘menongkah arus’ dengan cuba mempopularkan masakan tersebut di negeri yang sinonim dengan masakan nasi kandar itu, lebih empat tahun lalu.

Keputusan tersebut diambil selepas dia yang juga seorang bekas wartawan membuat kajian pasaran serta tinjauan mengenai permintaan terhadap makanan masak lemak cili api itu di Pulau Mutiara pada masa tersebut.
——————————————————————————————–
LOMAQ COFFE
Menu pilihan: set masak lemak cili api salai, set nasi berlauk, set asam pedas Johor, mi ‘sizzling’, pelbagai pilihan ‘seafood’ dan ‘western food’
Dibuka: Setiap hari (10 pagi hingga 10 malam)
Alamat: – 11, Hala Kalui Seberang Jaya, 13700 Perai, pulau pinang
– Jalan Kg Baru Sg Serai-Kg Chuping, 02450 Kangar, Perlis (cawangan Perlis)
——————————————————————————————
Ketika ini, anak kelahiran Perlis itu bagaimanapun boleh berbangga apabila jenama perniagaannya, Lomaq Coffee yang berpangkalan di Seberang Jaya semakin dikenali khususnya di Pulau Pinang serta beberapa lokasi lain disebabkan menu berkenaan.
“Selain masak lemak cili api yang menjadi menu utama kami, Lomaq Coffee juga menawarkan lebih 50 menu lain termasuk aneka seafood dan western food, pelbagai makanan bergoreng, asam pedas, spageti, cucur udang, keropok lekor serta pelbagai minuman termasuk yang berkonsepkan premium.

“Sebenarnya, menu ini kami akan semak setiap enam bulan untuk beri kelainan kepada pelanggan sedia ada selain cuba menarik kehadiran pelanggan baharu.
“Alhamdulillah, setakat ini konsep Lomaq Coffee diterima ramai dan rata-rata mereka yang pernah mengunjungi restoran kami berpuas hati dengan menu yang disediakan terutamanya masak lemak cili api dan daging salai,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Berkat kesabaran bapa kepada empat cahaya mata itu, Lomaq Coffee kemudian berjaya membuka cawangan pertamanya di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) awal tahun lepas.
Bagaimanapun kata Shamsul Munir, disebabkan beberapa isu teknikal yang timbul, operasi restoran terbabit dipindahkan ke lokasi baharu iaitu Perlis sejak awal tahun ini.
“Di Perlis, kami masih mengekalkan menu dan konsep yang sama seperti di Seberang Jaya bagi melancarkan operasi,” katanya yang memberitahu, Lomaq Coffee turut menjual masak lemak cili api terutamanya daging salai dalam bentuk sejuk beku dan produk itu telahpun dipasarkan ke beberapa restoran lain termasuk di Lembah Klang.
Ketika ini, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Komunikasi itu berhasrat dapat terus mengukuhkan jenama Lomaq Coffee selain mengekalkan kualiti produk yang mereka hasilkan walaupun berdepan dengan beberapa kekangan terutamanya saingan daripada beberapa restoran baharu yang turut memperkenalkan konsep yang sama.
“Kami ambil positif saingan ini dalam usaha untuk menambah baik sistem selain ‘mengharmonikan’ pasaran F&B (makanan dan minuman) ini. Yang penting, selain konsep, kami akan mengekalkan mutu servis dan SOP (prosedur operasi standard) daripada segi penyediaan makanan dan sebagainya demi memuaskan hati pelanggan,” ujarnya. – UTUSAN










