Kadar OPR dijangka kekal 3.00 peratus sepanjang tahun 2025

Kadar OPR dijangka kekal pada 3.00 peratus sepanjang tahun 2025

BANK Negara Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sepanjang 2025, walaupun bank-bank pusat global lebih cenderung untuk melonggarkan dasar mereka, kata Kenanga Research.  

Firma penyelidikan berkata, OPR semasa masih bersifat akomodatif, menyokong perluasan ekonomi domestik sambil menguruskan risiko inflasi, terutamanya dengan langkah-langkah dalam Belanjawan 2025 seperti kenaikan gaji minimum, kenaikan gaji penjawat awam dan rasionalisasi subsidi RON95 pada pertengahan 2025.

Jelas firma penyelidikan itu, dengan ramalan pertumbuhan Kementerian Kewangan (MoF) pada 4.5 hingga 5.5 peratus untuk 2025, Kenanga Research melihat OPR semasa sebagai sesuai untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tahun depan. 

“Walaupun kebanyakan bank pusat global dijangka melonggarkan kadar faedah mereka, BNM mungkin mengekalkan OPR bagi memastikan kestabilan domestik.

“Dalam konteks ini, kami percaya mengekalkan pendirian dasar monetari semasa adalah penting untuk memastikan pertumbuhan domestik berterusan dan menyokong agenda pembaharuan kerajaan Madani. 

“Oleh itu, kami mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2024 pada 5.0 peratus (2023: 3.6 peratus) dan meramalkan sedikit pengurangan kepada 4.8 peratus pada 2025, berikutan faktor-faktor domestik dan global yang mungkin mempengaruhi momentum pertumbuhan,” katanya dalam satu nota penyelidikan. 

Sehingga kini, inflasi utama dan teras masing-masing puratanya pada 1.8 peratus tahun ke tahun .

“Ini lebih rendah daripada unjuran awal BNM yang berada dalam julat 2.0 hingga 3.5 peratus. 

“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) belum lagi menetapkan sasaran inflasi untuk 2025, tetapi Kementerian Kewangan (MoF) baru-baru ini meramalkan julat 2.0 hingga 3.5 peratus. MPC juga mencatatkan bahawa risiko kenaikan inflasi akan bergantung kepada pelaksanaan langkah-langkah dasar domestik yang telah diumumkan dan kesan limpahannya,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat MPC menyatakan, ‘hasil pilihan raya AS mungkin meningkatkan ketidaktentuan dalam tempoh terdekat’, mencerminkan impak pilihan raya presiden AS terhadap pasaran global dan domestik. 

“Walau bagaimanapun, MPC menjangkakan ringgit akan mendapat sokongan daripada penyempitan perbezaan kadar faedah, prospek ekonomi domestik yang positif serta pembaharuan struktur dan inisiatif untuk menggalakkan aliran modal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×