SATU perubahan yang mungkin akan berlaku tidak lama lagi adalah bagaimana proses penggubalan bagi setiap undang-undang akan dipercepat dan dilakukan dengan lebih telus terutamanya apabila ia dibentangkan di Parlimen.
Perubahan ini penting kerana tempoh yang diperuntukkan untuk menggubal undang-undang di Parlimen ketika ini agak singkat sedangkan ia perlu melalui pelbagai proses bermula sesi libat urus, pembentangan, perbahasan sebelum ia diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Sebenarnya jalan atau perkembangan bagi semua undang-undang, sama ada undang-undang lapuk atau baharu perlu banyak perkembangan dari segi segmen libat urus, bukan sahaja pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi masyarakat sivil (CSO),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2025 peringkat dasar baru-baru ini.
“Sebab itu, speaker menegur setiausaha kementerian supaya rang undang-undang (RUU) dimasukkan ke Parlimen dua minggu atau sebelum 14 hari supaya jawatankuasa pilihan dan ahli-ahli Parlimen dapat memberi pandangan.
“Kita tidak mahu lagi bawa undang-undang, hanya bila mahu dibahaskan baru dibawa sehari atau dua hari sebelum, sebab kita inginkan supaya jawatankuasa pilihan mewakili kawasan, parti dan rakyat mereka mempunyai pandangan tentang undang-undang yang ingin dibawa oleh kementerian.”
Beliau memberi contoh bagaimana pihaknya masih tidak boleh memberi sebarang maklum balas yang terperinci mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Hasutan kerana masih memerlukan masa untuk melakukan sesi libat urus.
“Harapan saya kalau ada perubahan pun, kita mungkin perlu kaji balik hari-hari kita (di Parlimen), sebab sesi ini ada empat hari RUU (sebelum Belanjawan), dengan enam hari RUU selepas habis pembentangan Belanjawan, jadi ada 10 hari.
“Saya dimaklumkan banyak RUU yang dibawa oleh kementerian, jadi kita kekurangan masa. Itu sebab kita harus kaji semula supaya banyak hari diletakkan dalam sidang Parlimen supaya RUU dapat kita percepatkan proses untuk perbahasan dan kelulusan bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.”
Azalina juga menekankan kepentingan istilah reformasi institusi yang digunakan dalam jawatannya berbanding pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Bila peruntukan belanjawan diberi pada 2025, ia perkembangan yang agak baik kerana memberi peluang lebih kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU). Kalau ingat dulu, BHEUU hanya jaga hal ehwal undang-undang. Hari ini ditambah oleh Perdana Menteri dengan meletakkan bajet tertentu untuk reformasi institusi, jadi ia beri kebolehan dan komitmen untuk melihat kepada semua undang-undang.”
Apa yang dinyatakan Azalina mungkin nampak kecil tetapi mungkin perubahan diperlukan bagi melancarkan lagi proses penggubalan undang-undang di negara ini.
AKTA BAHARU DAN LAPUK
Setakat ini, kerajaan membawa beberapa pindaan terhadap undang-undang sedia ada antaranya pemansuhan hukuman mati mandatori, pindaan Akta Audit Negara 1957, pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, pindaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 dan pindaan Akta Insolvensi 1967.
Kerajaan turut merancang untuk menggubal RUU atau pindaan akta sedia ada iaitu penggubalan RUU Keselamatan Dalam Talian, pindaan kepada perundangan berkaitan buli termasuk buli siber, penggubalan Kearah Keadilan MyDigital, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, penggubalan RUU Kebebasan Maklumat, pindaan Akta Pemegang Amanah 1949, pindaan Akta Pemegang Amanah (Diperbadankan) 1952, pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976 serta penggubalan RUU Perkhidmatan Bantuan Guaman yang baharu.
Berdasarkan semakan status undang-undang pra-1969, terdapat sejumlah 3,404 undang-undang dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,203 undang-undang pra-1969 tidak memerlukan tindakan lanjut kerana 1,717 undang-undang dimansuhkan atau disemak manakala 1,486 undang-undang lagi dalam kategori mempunyai kesan/dibelanjakan/henti operasi/luput/undang-undang pindaan/ undang-undang pemansuhan/ bidang kuasa negeri atau Singapura.
Sejumlah 164 undang-undang pra-1969 yang memerlukan tindakan iaitu 84 undang-undang disenaraikan untuk disemak atau dikekalkan dan 80 undang-undang lagi disenaraikan bagi tindakan kajian lanjut Jabatan Peguam Negara.
Turut diluluskan undang-undang baharu ialah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024.
Kata Azalina, peruntukan undang-undang yang juga dikenali sebagai liabiliti korporat ini ditambah untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dijalankan dengan integriti tanpa rasuah dan mempromosi amalan tadbir urus baik dalam organisasi selain bukan bertujuan untuk menghukum organisasi komersial semata-mata.
Begitu juga dengan Akta Audit 1957 yang telah dipinda dan diluluskan untuk memberikan kuasa pengauditan kepada Jabatan Audit Negara.
Kerajaan juga bercadang untuk menggubal RUU Perkhidmatan Parlimen dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan). Bagi penggubalan RUU pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa), Parlimen dengan kerjasama BHEUU sedang dalam proses penelitian ketetapan dasar, parameter gubalan akta dan impak kepada perundangan sedia ada.
PENGASINGAN KUASA
Dalam perkembangan terkini pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara, Azalina berkata, satu kajian yang terperinci dibuat melibatkan dua pasukan khas dan dibuat dalam tiga fasa.
Bagi fasa pertama, pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif menjalankan kajian berdasarkan keterangan ke beberapa buah negara seperti England, Australia dan Kanada.
Fasa kedua pula melibatkan Pasukan Petugas Khas Teknikal yang meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan, serta menyediakan Laporan Interim dalam tempoh setahun mengenai kajian tersebut sebelum dibawa ke Jemaah Menteri.
Fasa ketiga melibatkan sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta pihak pemegang taruh lain termasuk agensi penguatkuasaan serta Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society, Advocates Association of Sarawak, ahli-ahli akademik dan pakar rujuk Perlembagaan Persekutuan.
Banyak lagi isu yang dibangkitkan dan dijawab oleh Azalina seperti isu perundangan melibatkan kanak-kanak, isu persempadanan semula dan isu pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Negeri Sabah dan Sarawak, namun diharap lebih banyak isu dapat dijelaskan dan diselesaikan supaya dapat membawa perubahan lebih baik kepada sistem perundangan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










