PETALING JAYA: Syarikat amanah, Rakyat Trustee Berhad (RTB) memeterai perjanjian kerjasama dengan Nusa Kapital Sdn. Bhd. (Nusa Kapital) dan TT Gratia Group bagi menerokai sektor hartanah di Melaka.
Pengarah Urusan RTB, Faudzi Mt Din berkata, ini adalah usaha sama sulung syarikat bersama Nusa Kapital yang merupakan penyedia platform pembiayaan antara-rakan-setara atau peer to peer (P2P) patuh syariah pertama di negara ini.
Beliau berkata, pemeteraian kerjasama itu juga akan melibatkan dana sebanyak RM50 juta dan RTB akan menjadi pemegang amanah bagi dana tersebut untuk memastikan kelancaran projek hartanah tersebut mengikut perjanjian.
“Dana pelabur dilindungi dan juga memberi manfaat kepada mereka. Ini kerana terlalu banyak pelabur di negara ini yang terlibat dalam kes-kes yang mana mereka silap membuat pemilihan terbaik dalam aktiviti pelaburan mereka. Mereka begitu teruja melabur semata-mata untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.
“Memandangkan pelabur selalunya tiada pengetahuan meluas mengenai pelaburan, jadi sekiranya mereka melabur dalam platform yang disediakan oleh Nusa Kapital dan RTB pula menjadi pemegang amanah kepada dana tersebut, jadi mereka tidak perlu bimbang terhadap wang pelaburan mereka,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Majlis menandatangani MoU antara RTB dengan Nusa Kapital telah diadakan baru-baru ini dengan dihadiri Pengerusi RTB, Datuk Zazali Haron; Ketua Pegawai Operasi Nusa Kapital, Izmi Marican dan Pengarah Urusan TT Gratia, Tan Wei Joon.
Dalam perkembangan lain, Izmi berkata, sebelum memberi penerangan tentang potensi projek tersebut kepada pelabur, pihaknya telah memastikan bahawa syarikat TT Gratia memenuhi standard yang diperlukan dan keupayaan syarikat untuk membayar semula dana yang digunakan.
“Kami akan menilai rekod sejarah syarikat, kekuatan dan juga pulangan yang dijangkakan, tempoh masa pulangan tersebut boleh dimanfaat pelabur serta pelbagai perkara lain yang menjadi keutamaan.
“Kami juga perlu pastikan kepentingan pelabur daripada semua aspek dan sekaligus menjaga kepentingan pembeli projek hartanah tersebut.Sebagai sebuah platform pembiayaan, kami akan membuat pemantauan bukan sahaja pada peringkat awal tetapi juga sehingga selesai disiapkan, malah kami juga boleh membuat analisa daripada perjanjian yang ditandatangani pembeli bagi memastikan projek tersebut mengikut garis panduan,” jelasnya. – UTUSAN











