PETALING JAYA: Malaysia terus komited dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa dengan China dengan memberi tumpuan khas kepada sektor produk halal, pertanian komoditi dan menggalakkan pertukaran kepakaran.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi negara untuk meningkatkan daya saing ekonomi melalui pengembangan sektor utama dan inovasi teknologi terutamanya dalam industri halal yang semakin mendapat perhatian global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus dengan sikap terbuka bersama China bagi kerjasama strategik serta pelaburan terkait teknologi berkualiti tinggi, ekonomi digital, pendidikan serta dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi.
Berita berkaitan:
Beliau berkata, Malaysia juga mahu mempertingkatkan hubungan perdagangan terutama membabitkan produk halal, sektor pertanian komoditi dan menggalakkan pertukaran kepakaran serta dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Saya turut nyatakan bahawa Malaysia berkongsi keutamaan dalam beberapa dasar yang dilaksanakan, terutama dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar, memartabatkan kehidupan rakyat dan mencapai pembangunan mampan.
“Malaysia mempunyai ruang belajar daripada kejayaan China dalam lingkungan ini menerusi kerjasama dengan China International Development Cooperation Agency (CIDCA) dan International Poverty Reduction Centre (IPRCC),” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Anwar yang dalam rangka lawatan ke China sehingga esok, berpuas hati dengan perbincangan dua hala bersama Perdana Menteri China, Li Qiang yang disifatkan sebagai bermanfaat.
Perbincangan tersebut menggambarkan hubungan Malaysia dan China dipenuhi dengan semangat persahabatan dan penuh harapan serta memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan Malaysia dan China sebagai dua sahabat besar sambil menekankan matlamat bersama untuk mempromosi kemakmuran serta keamanan secara bersama di rantau ini.
Anwar juga menghargai sokongan berterusan China dalam pelbagai bidang, termasuk penyertaan Malaysia dalam BRICS.
“Saya juga menegaskan sokongan Malaysia terhadap visi komuniti masa depan bersama yang diterajui oleh Presiden Xi Jinping,” katanya. – UTUSAN











