PONTIAN: Nelayan di Sungai Rambah di sini meminta pihak berkuasa membanteras kegiatan bot pukat tunda yang mengancam periuk nasi mereka.
Bot pukat tunda sepatutnya beroperasi lima batu nautika dari kawasan pantai seperti yang ditetapkan dalam lesen.
Pengerusi Komuniti Nelayan Sungai Rambah, Mohd. Yusof Sulaiman, 66, berkata, tindakan pengusaha bot pukat tunda tersebut menyebabkan anak-anak ikan dan udang tidak dapat membiak.
Menurutnya, walaupun sebelum ini beberapa aduan dibuat kepada pihak berkuasa, namun bot-bot pukat tunda seperti ‘kebal’ undang-undang dan tidak menghiraukan keluhan nelayan pantai.
“Kami kini begitu terhimpit bukan sahaja dengan kehadiran bot pukat tunda tetapi juga penggunaan bubu naga menjadi punca hasil tangkapan kami berkurangan.
“Bubu kambang atau dikenali sebagai bubu naga telah diharamkan untuk menangkap ikan tetapi masih ada pihak menggunakannya bagi mengaut keuntungan besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Yusof berkata, pernah mereka turun laut hanya memperoleh hasil seekor ikan gelama, tidak berbaloi dengan kos minyak bot yang dihabiskan.
“Jika sebelum ini kami mampu memperoleh hasil tangkapan enam hingga 10 kilogram (kg) bagi udang besar, tetapi kini hendak mencari sekilogram pun susah,” jelasnya.
Terdapat 30 nelayan pantai yang berpangkalan di Jeti Nelayan Sungai Rambah, namun tidak semua dapat turun ke laut kerana bimbang dengan kehadiran bot-bot pukat tunda.
Katanya, pukat-pukat tunda juga menyebabkan jaring nelayan pantai rosak dan terpaksa menggantikannya dengan yang baharu di mana harga satu jaring kini RM160. – UTUSAN











