KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah terbuka meneroka ruang kerjasama dalam usaha memperkukuh Kerajaan Madani bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dijangka tahun depan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, dalam menghadapi PRN17, Pakatan Harapan (PH) membentuk Jawatankuasa Rundingan Kerusi dan telah mengadakan beberapa siri mesyuarat.
“PH Sabah menyelesaikan dulu perbincangan dan rundingan dalaman sebelum memulakan rundingan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan.
“Namun, dalam proses rundingan itu, PKR ingin menekankan agar pendekatan inklusif dapat dilaksanakan secara adil.
“Perbincangan perlu juga meliputi pembahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, kuota pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jawatan-jawatan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kampung dan komuniti,” katanya semalam.
Katanya, prinsip asas kerjasama itu perlu didasari pengurusan tatakelola baik seperti tadbir urus dan meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
“Selain itu, kami mengalu-alukan cadangan jawatankuasa rundingan kerusi PRN17 yang diutarakan oleh Ketua Menteri Sabah baru-baru ini dalam usaha mengukuhkan kerjasama baik dan kestabilan politik yang sedia ada,” katanya.
Kelmarin, pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan tidak rasmi untuk meneliti titik-titik pertemuan dan menghormati perbezaan pandangan dalam menentukan hala tuju politik Sabah yang memerlukan pendekatan berbeza dengan konteks Semenanjung. – UTUSAN











