PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh bakal dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan yang baharu selepas bersara pada 11 November ini.
Ahmad Terrirudin, 56, dilantik sebagai Peguam Negara pada 6 September tahun lepas menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang kontraknya berakhir.
Beliau dijangka menerima surat lantikan daripada Yang di Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 12 November ini.
Sebagai Peguam Negara, beliau memenuhi kelayakan mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan sebarang pelantikan ke jawatan itu (Peguam Negara) layak menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan.
Sebagai rekod, kerjayanya bermula sebagai pegawai undang-undang pada 1992 selepas berkhidmat dalam pelbagai jawatan termasuk Hakim Mahkamah Sesyen dan Pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang serta Kuala Lumpur.
Selain itu, beliau juga pernah menjawat Timbalan Ketua Jabatan Sivil di Pejabat Peguam Negara selain pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang Undang Kedah.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pendaftar di Mahkamah Persekutuan pada 2019 sebelum dilantik sebagai Peguam Cara Negara pada 25 Mac 2022. – UTUSAN










