PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu terbuka untuk menyerahkan mandat kepada Pas bagi mengemudi Perikatan Nasional (PN) berlandaskan tiga faktor utama.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, Pas lebih berkuasa dan dominan selepas memerintah empat negeri berbanding Bersatu yang tidak mempunyai kuasa di peringkat negeri.
Malah katanya, PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini sedang berdepan masalah defisit kepercayaan ekoran kes melibatkan beliau sebelum ini.
“Muhyiddin sekarang wajar diundurkan kerana sedang sarat menghadapi kes mahkamah yang melibatkan korupsi.
“Lagipun sampai bila Pas hendak beri muka kepada parti yang langsung tidak pegang mana-mana negeri pun,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam laporan Utusan Malaysia kelmarin, penganalisis politik melihat Pas lebih layak dan sesuai mengemudi PN berbanding Bersatu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ia disebabkan kepercayaan yang semakin menghakis dalam kalangan rakyat dan akar umbi sehingga menyebabkan sokongan kepada Bersatu semakin lemah ketika ini.
Dalam pada itu Muhammad Faiz berkata, biarpun Bersatu selesai menjalani pemilihan, parti itu masih dilihat tidak terurus malah seperti baru ditubuhkan semalam.
“Pengurusan yang caca marba itu kita boleh lihat daripada aspek Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengendalikan pemilihan khususnya di peringkat sayap dan bahagian.
“Integriti dan ketelusan JPP telah dipersoalkan beberapa calon jawatan pusat Armada yang bertanding. Ia tular secara terbuka di media menyebabkan reputasi parti di pandang serong rakyat,”ujarnya. – UTUSAN










