IPOH: Seorang wanita didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas, bulan lalu.
Tertuduh, Siti Nuridah Jumli, 24, berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman dijatuhkan selepas dia membuat pengakuan bersalah bagi pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang yang masih bebas, bertindak gopoh yang tidak terjumlah kepada mematikan orang dengan salah hingga menyebabkan kematian Abd. Kamar Mat Sarin, 64.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang, Kinta antara pukul 4.20 hingga 5.30 petang, 25 Oktober 2024.
Perdakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini memohon tertuduh dikenakan hukuman berat bagi kesalahan dilakukannya namun Robert Gnanarajan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon wanita yang masih belum berkahwin itu dikenakan denda minimum atas alasan bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan bulanan RM3,000.
Menurut fakta kes, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas, menampar tepi muka dan belakang kepala si mati hingga menyebabkan kematiannya.
Ada saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian memperlihatkan perbuatan itu di mana tidak mempunyai niat membunuh.
Laporan perubatan menunjukkan si mati ada masalah sakit jantung dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya.










