WANGIAN mempunyai pelbagai struktur kimia berbeza dengan setiap satunya mampu menghasilkan karakter aroma yang tersendiri.
Contohnya, struktur kimia daripada kumpulan alkohol memberikan bau segar manakala aldehid menghasilkan bau buah-buahan atau sitrus.
Ketone pula memiliki aroma manis dan bunga, diikuti ester yang sinonim dengan buah-buahan dan gula-gula manis.
Dalam pembuatan minyak wangi, bentuk dan susunan bahan yang digunakan menerusi piramid olfaktori, menentukan karakter bau wangian dihasilkan.
Perubahan kecil pada susunan bahan boleh memberikan kesan profil bau yang berbeza sepenuhnya.
Dalam pada itu, terdapat dua teori yang mengaitkan bagaimana bau dianalisis iaitu menerusi bentuk (model kunci dan mangga) dan getaran (model kad swipe).
Walaupun kedua-dua teori itu disokong oleh bukti saintifik, namun sehingga kini tiada penjelasan tepat yang dapat mengesahkan sepenuhnya bagaimana bau dapat dihidu.
Oleh itu, persepsi bau mungkin merupakan gabungan teori bentuk dan getaran.
Apatah lagi, setiap individu mempunyai kimia badan berbeza, yang mempengaruhi bau tubuh masing masing.

Jenis nota
Nota atas adalah bauan pertama dihidu dan ia berbau segar dan ringan.
Misalnya, monoterpen (ditemui dalam minyak sitrus), aldehid dan alkohol rantai pendek menyumbang kepada kesan segar kepada nota atas dalam wangian.
Nota tengah atau jantung muncul selepas dua hingga tiga jam digunakan dan mewakili karakter sebenar minyak wangi di samping lebih tahan lama.
Nota asas pula mengandungi molekul paling berat sekali gus membolehkannya bertahan lebih lama kerana sifat yang kurang meruap.
Ia muncul pada akhir aplikasi sesuatu wangian dan menyumbang kepada kesan yang lebih panjang dan mendalam.

TAHAN LAMA PADA KULIT LEMBAP
Haruman bertahan lebih lama pada kulit lembap berbanding kulit kering.
Hal itu kerana kelembapan membantu memerangkap molekul wangian di permukaan kulit seterusnya mengurangkan kadar kemeruapan wangian.
Justeru, tidak hairanlah apabila minyak wangi diperkenalkan mengikut musim seperti panas dan sejuk.
Antara tips lazim bagi mengaplikasikan minyak wangi adalah dengan meletakkannya pada titik nadi di pergelangan tangan atau leher.
Ia kerana saluran darah pada kawasan ini adalah yang terhampir dengan permukaan kulit.
Haba yang dibawa darah membantu minyak wangi dilepaskan ke udara dengan lebih cepat, lantas dapat menikmati haruman yang digunakan.
-Penulis ialah pensyarah kimia dan saintis di Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, ChM Dr. Mohd. Azri Ab. Rani diikuti pelajar, Muhammad Ali Imran Mazuki dan Nurul Shafiqah Azman.










