PEMAJU terkemuka, Premier De Muara Sdn. Bhd. membangunkan projek pembangunan Picasso Residence yang reka bentuknya diilhamkan daripada seniman Sepanyol terkenal, Pablo Picasso.
Terletak di Jalan Jelatek berhampiran pusat bandar Kuala Lumpur, Picasso Residence seluas 1.42 hektar ini terdiri daripada Menara A dan Menara B yang masing-masing mempunyai 270 dan 202 unit rumah.
Pengarah Urusan Premier De Muara, Datuk Andrew Tan berkata, syarikat itu telah menerima sambutan yang menggalakkan sejak pelancaran Picasso Residence pada 2023 dan telah berjaya menjual kesemua 472 unit di Menara A dan Menara B.
Katanya, Picasso Residence yang membawa nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.08 bilion menawarkan lima jenis susun atur dengan saiz dari 1,013 kaki persegi hingga 2,480 kaki persegi dengan harga bermula dari RM1.6 hingga RM3.9 juta dan setiap unit dilengkapi dengan lif peribadi.
“Sehingga kini, 83 peratus daripada Picasso Residence telah siap. Projek ini dirancang dalam dua fasa. Kami telah menyelesaikan Fasa 1 (Menara A) dengan 270 unit dan pemilikan kosong telah diberikan kepada pembeli bermula 13 September 2024.
“Dari segi campuran produk dan tawaran, ia kompetitif dari segi harga serta reka bentuk, pengalaman dan kemudahan yang ditawarkan.
“Kami telah menarik pembeli dari Hong Kong, Singapura, Malaysia dan China. Kami juga mempunyai pembeli pukal sepanjang proses ini. Kini, sekitar 30 peratus hingga 35 peratus pembeli adalah warga asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Premier Construction (International) Sdn. Bhd., anak syarikat PRG Holdings Bhd., merupakan kontraktor utama bagi Picasso Residence yang telah mengambil alih kontrak pembinaan utama sejak pemulihan semula projek ini.
Pengarah Urusan Kumpulan PRG Holdings, Andrew Chan berkata, Fasa 2 atau Menara B dengan 202 unit dijangka siap pada suku kedua 2025.
Menurutnya, sebagai wakil kontraktor utama, PRG Holdings berbangga mencapai pencapaian dengan Menara A yang sudah hampir siap.
“Kami sedang berusaha keras bersama pemaju untuk memenuhi tarikh akhir suku kedua bagi Menara B. Projek ini ikonik dan kami teruja untuk melihat orang ramai menikmati ketenangan, kemudahan dan kelebihan strategik Castle Residence.
“Picasso Residence adalah pelaburan yang berbaloi kerana terletak di lokasi utama Kuala Lumpur, menyumbang kepada peningkatan nilai hartanah jangka panjang.
“Ia juga menawarkan sistem keselamatan canggih, perkhidmatan concierge, lobi peribadi dan akses berpagar untuk kemudahan, privasi dan keselamatan penduduk. Dengan reka bentuk bangunan yang unik, ia telah menjadi tarikan tambahan di bandar ini, dengan seni bina yang inovatif dan ciri-ciri yang menakjubkan,” katanya.
Dalam pada itu, T&T Architect yang merupakan arkitek bagi Picasso Residence telah merancang seni bina dan estetik pembangunan ini yang dipengaruhi oleh gaya avant-garde seni Picasso.
Menampilkan elemen moden dan abstrak di kawasan umum atau perumahan, ia juga menawarkan kemudahan premium seperti gimnasium di atas bumbung, taman atas bumbung, kolam infiniti, sauna dan ruang rehat peribadi.-UTUSAN









