Ahli kariah masjid jangan sombong

Ahli kariah masjid jangan sombong

IMAM SAMSUDDIN MAT SAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID adalah nadi penghubung di antara sesama masyarakat. Tanpa mengira di mana lokalitinya sama ada di bandar atau di kampung, rumah ibadat ini perlu ‘hidup’ dan berfungsi menyatupadukan masyarakat.

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Imam Tua Masjid Wahdatul Ummah, Imam Samsuddin Mat San, 59, berkata, imam, bilal dan noja, jawatankuasa masjid dan ahli khariahnya perlu mengambil tanggungjawab mengimarahkan masjid dalam konteks ukhwatul Islamiah.

IMAM SAMSUDDIN MAT SAN
Usia: 59 tahun
Asal: Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan
Sejarah pendidikan:
Sekolah Kebangsaan Gong Manak, Pasir Puteh.
Sekolah Menengah Semerak, Gong Kedak
Pengajian lanjutan di Pondok Ustaz Adam Gong Bayor, Besut, Terengganu

Menurutnya, masjid seharusnya dilihat berfungsi dalam keperluan duniawi dan ukhrawi menerusi pelbagai aktiviti dan kreativiti.

“Semua pihak lebih-lebih lagi Imam sebagai pemimpin perlu ikhlas untuk berusaha memakmurkan masjid dengan pelbagai pendekatan.

“Amalan ziarah ke rumah anak mukim, bertanya khabar soal kebajikan, sakit demam dan pelbagai adalah perlu dalam merapatkan hubungan. Bukan hanya Imam malah melibatkan semua ahli kariah masjid,” katanya ketika ditemui di Masjid Wahdatul Ummah Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

Menurut Samsuddin, sambil ziarah tugasan berdakwah dapat diteruskan termasuk mengajak anak mukim hadir solat berjemaah dan mendengar kuliah agama yang diadakan setiap malam.

“Saya sering berpesan kepada khariah masjid agar tidak sombong, sering ukir senyuman dan mesra dengan anak mukim yang baru hadir ke masjid,” katanya.

Beliau berkata, Masjid Wajdatul Ummah contohnya, menyediakan sumbangan khusus termasuk keperluan harian kepada penduduk yang memerlukan menerusi Program Dapur Asnaf.

“Kita ada 40 ahli kumpulan muslimat yang berperanan menziarahi penduduk yang sakit dan mengagihkan sumbangan yang diperlukan.

“Bukan setakat itu, kumpulan ini juga penggerak bagi majlis bacaan surah Yassin dan al-Quran 30 juzuk,” katanya.

Katanya, Imam Muda, Bilal dan Noja berperanan mendekati remaja untuk mencintai masjid dengan pelbagai aktiviti sama ada program qiyamulail, kesukanan atau patriotik.

“Amalan bergotong-royong memasak di masjid bagi penyediaan makanan selepas program kuliah adalah rutin di masjid ini dalam usaha merapatkan saf dan keakraban dalam komuniti,” katanya.

Katanya lagi, agama Islam menyeru umatnya agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan ikatan silaturahim sesama insan, apatah lagi sesama Islam.
Ini, katanya, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”
“Amalan ziarah membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai dan sebagainya.
“Paling utama ahli masjid perlu aktif untuk mengukuhkan perpaduan sedia ada,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×