Hasilkan tangkai bekas air guna mengkuang

Hasilkan tangkai bekas air guna mengkuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT menganyam mendorong seorang peniaga dari Kampung Jabi, Besut di Terengganu menghasilkan tangkai bekas air diperbuat daripada daun mengkuang.

Idea itu tercetus secara spontan pada Ogos tahun lalu bagi memastikan minuman longan jualannya tampak klasik dan lain daripada lain.

Nurul Najeerah Zainun Abidin, 29, berkata, di peringkat awal, hampir 20 kali percubaan dibuat untuk menyiapkan tangkai itu.

Akhirnya, jalinan paling mudah dan senang menjadi pilihannya sebagai identiti rekaan.

“Cabarannya ialah saya tiada sebarang contoh untuk dijadikan rujukan kerana tangkai itu tidak pernah wujud atau dijual di pasaran.

“Saya gunakan kreativiti buat jalinan yang sesuai dan mudah, tidak sangka hasilnya menjadi,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.

Tangkai mengkuang bersama air longan itu dijual pada harga RM10 di gerai Dessert Jalanan miliknya di Pantai Bukit Keluang.

Keunikan yang ditampilkan turut membolehkan minumannnya laris antara 100 hingga 150 bekas setiap hari sepanjang beroperasi pada Jumaat dan Sabtu.

Ujarnya, sasaran jualan hanya pada jumlah itu berikutan tidak mampu menghasilkan lebih banyak tangkai mengkuang disebabkan kekangan masa serta tugas.

“Lebih-lebih lagi, tangkai itu dihasilkan sendiri daripada proses awal iaitu mengeringkan daun hingga ke akhir,” katanya.

 

Belajar melalui Youtube
Penglibatannya dalam hobi itu bermula dengan hanya menonton video-video tutorial menganyam di laman Youtube.

Mengakui tidak mengikuti kursus atau latihan khas tetapi bukan penghalang untuknya meneruskan minat tersebut.

Rahsia Nurul Najeerah adalah dengan mengaplikasikan konsep mengait pada anyaman.

Walaupun penggunaan materialnya berbeza tetapi konsep kraf itu didapati lebih kurang sama.

“Kedua-dua ilmu itu dipelajari semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 menerusi tontonan video sahaja.

“Anyaman pertama saya ialah bakul tetapi disebabkan pembuatannya rumit, saya lupakan seketika hobi itu sebelum disambung semula tahun lalu,” katanya.

Seni anyaman merujuk kepada proses menjaring atau menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan bagi dijadikan rumpun kuat dan boleh digunakan.

Selain mengkuang, antara bahan-bahan lain yang boleh dianyam ialah pandan, buluh, rotan dan lidi.

50 tangkai siap dalam 3 jam
Bekalan daun mengkuang diperolehinya daripada seorang peniaga dari Gerik, Perak dengan kaedah penghantaran dibuat secara pos.

Biasanya, setiap minggu sebanyak 50 kilogram atau bersamaan dua guni besar tumbuhan tersebut tiba di kediamannya.

Daun berkenaan kemudian akan dikeringkan dengan cara dijemur selama tiga hari di bawah terik matahari.

Katanya, daun kering itu kemudian disimpan selama sehari lagi di tempat teduh sebelum kerja-kerja memotong dan menganyam boleh bermula.

Setelah selesai menganyam, tangkai air itu perlu dijemur semula selama sehari agar ia kering sepenuhnya dan tahan kulat.

“Paling penting, daun perlu dijemur terus bagi memastikan ia tidak berpeluh, melekat dan rosak,” katanya yang menggunakan pisau khas untuk memotong.

Nurul Najeerah berkata, proses menjemur dan memotong dilakukannya dengan bantuan seorang pekerja.

Ujarnya, aktiviti menganyam lazimnya dibuat dari pukul 9 hingga 11 malam dan dalam tempoh itu, dia mampu menyiapkan antara 30 hingga 50 tangkai air mengkuang.

“Mula-mula saya anyam bahagian bulatan dahulu dan kemudian ia dicantumkan dengan stapler.

“Kemudian saya ambil daun untuk dijadikan tangkai pada bulatan dan selepas ikatan dibuat, stapler itu akan dicabut semula,” katanya.

Setelah selesai tugasan tersebut, aktivitinya diteruskan dengan pembuatan kek pula bagi jualan mingguan dan tempahan harian.

Terapi, lali dengan luka
Umum mengetahui daun mengkuang berbentuk tirus memanjang dan berduri tajam pada bahagian tepinya.

Disebabkan faktor berduri itu, maka ramai golongan muda tidak berminat untuk menguasai kemahiran menganyam.

“Ya, proses pembuatannya memang susah dan rumit tetapi apabila siap barang diingini, hati rasa berbunga serta sangat puas.

“Dalam masa sama, hobi ini ibarat terapi pada saya dan kadangkala boleh menghilangkan tekanan dialami.

“Sepanjang tiga jam menganyam saya seolah-olah berada dalam dunia sendiri tanpa sempat bermain atau melihat telefon pintar,” katanya.

Menurut Nurul Najeerah, risiko untuk mendapat luka adalah besar tetapi dia sudah lali melihat jari-jemarinya berdarah.

Jelasnya, jika bukan terkena duri, jarinya selalu ditusuk selumbar.

“Saya tidak selesa pakai sarung tangan sebab ia membataskan dan menyukarkan proses melipat,” katanya.

Estetik, jadi rebutan pelanggan
Keunikan tangkai air mengkuang itu berjaya menarik ramai pelanggan termasuk dari luar daerah dan pelancong datang ke gerainya.

Malah, segelintirnya sanggup membeli minuman longan tersebut semata-mata untuk memiliki tangkai sahaja.

Sehingga kini, tiada mana-mana peniaga di Terengganu yang mengetengahkan konsep sama tangkai air mengkuang pada minuman.

“Rata-ratanya teruja mahu mengambil gambar air dan memuat naiknya di media sosial masing-masing.

“Bagi mereka, tangkai itu lain daripada lain dan mempunyai ciri-ciri estetik seolah-olah berada di Thailand yang popular dengan trend menghias bekas minuman,” katanya.

Menariknya, tangkai berkenaan boleh digunakan semula pelanggan untuk bekas-bekas lain yang bersaiz standard.

Bagaimanapun, Nurul Najeerah tidak berhasrat untuk menjual produk itu sahaja kerana ia adalah pelengkap kepada minuman longan dijualnya.

“Tambahan pula, proses pembuatan kraf itu yang memakan masa dan tenaga, di samping sering kekurangan stok bahan mentah iaitu daun.

“Jika tiada daun mengkuang, saya tidak akan jual air longan dan cuma fokus pada kek serta pastri sahaja di gerai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×