Kira-kira 93 peratus spesis pokok gergasi yang meliputi 80 peratus hutan negara ini berdepan risiko kepupusan akibat kerakusan aktiviti pertanian, pembangunan dan pembalakan tidak terkawal.
Pokok gergasi daripada keluarga Dipterocarpaceae atau Dipterocarps itu adalah pokok tropikal kayu keras yang terdiri daripada pokok balak seperti meranti, balau, cengal, merbau, kempas, keruing, jati dan nyatuh.
Berdasarkan rekod Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN), di Malaysia terdapat 5,422 spesis pokok yang dikenal pasti.
Daripada jumlah itu, kira-kira 1,616 spesis dikategorikan sebagai endemik, manakala 1,295 spesis terancam.
Eksekutif Projek, Elmina Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC), Intan Syafiqah Mohd. Hamezan berkata, spesis pokok balak selepas ditebang sukar diganti kerana ia mempunyai pertumbuhan dan pembiakan yang sangat perlahan.
“Sebagai contoh, pokok cengal yang ditanam di TRCRC kini sudah berusia dua tahun tetapi masih setinggi 30 sentimeter.
“Biji benihnya dihasilkan setiap lima hingga tujuh tahun dan tidak sesuai disimpan dalam bank benih sebaliknya perlu dicambah,” katanya.

Intan Syafiqah berkata dalam Bengkel Menjaga Hutan Kita sempena Hari Habitat Sedunia 2024 anjuran BOH Plantations Sdn. Bhd. (BOH) dan TRCRC di Elmina Living Collection Nursery, baru-baru
Lebih 50 peserta yang menghadiri bengkel setengah hari itu turut berpeluang meraih pengalaman menanam benih harapan untuk masa hadapan yang lebih baik dalam memelihara khazanah hutan tropika negara kita.
Katanya, untuk mendapatkan pokok balak yang besar, ia boleh memakan masa sehingga puluhan dan ratusan tahun.
Selain cengal, TRCRC turut menyemai pokok merbau yang diisytiharkan sebagai Pokok Kebangsaan Malaysia sejak 2019.
Pengisytiharan itu sebagai usaha meningkatkan kesedaran ramai mengenai kepentingan pemuliharaan kekayaan biodiversiti negara dan untuk membangkitkan semangat cintakan khazanah hutan.
Merbau atau nama saintifiknya Intsia Palembanica adalah spesis keluarga Fabaceae dan boleh menghasilkan benih yang bertahan sehingga empat tahun.
Di Elmina, pokok itu sudah berusia tiga tahun.
“Merbau sangat bermanfaat kepada Orang Asli dengan pucuknya dijadikan sebagai ulaman.
“Pokok meranti juga di tanam di sini dan pemantauan dilakukan bagi memastikan ia sesuai dengan suasana sekeliling.
“Selain itu terdapat pokok kasai yang sangat penting dalam memperbaiki tebing sungai kerana akarnya yang kuat menahan tanah runtuh,” katanya.
Tambahnya lagi, pokok kasai boleh menghasilkan benih yang dimakan oleh burung dan kemudian disebarkan untuk mengukuhkan biodiversiti dalam kawasan urban atau bandar raya.
Katanya, paling menarik, pokok kasai mempunyai buah yang seakan longan.
Buah kasai tergolong dalam kategori buah-buahan nadir dengan saiznya sebesar ibu jari manakala panjangnya mencecah empat sentimeter.
Buah yang masih muda berwarna hijau dan bertukar kepada merah keperangan apabila matang atau agak tua.
Apabila cukup masak buah kasai berwarna biru kehitaman.
Buah hutan
Selain balak, TRCRC turut menumpukan tanaman buah-buahan hutan.
Ia termasuk kedondong bulan atau nama saintifiknya Conarium Littorale dan pokok Atorcarpus, sama keluarga dengan pokok cempedak serta pauh kijang yang seakan mangga.
Fungsinya adalah untuk mengukuhkan biodiversiti dan menarik hidupan liar.
Ujar Intan Syafiqah, terdapat banyak pokok buah hutan lain tetapi tidak banyak maklumat mengenainya.
Antaranya, pokok manggis hutan atau beruas tetapi rasanya tidak semanis manggis yang biasa dimakan.
Sebaliknya ia lebih masam dan bewarna oren.
“Pokok yang memberi manfaat kesihatan seperti pokok kapur turut disemai dan ditanam di TRCRC antaranya yang biasanya digunakan untuk merawat sakit perut.
“Di zaman dulu, pedagang Arab menyamakan nilai pokok kapur lebih tinggi daripada emas,” katanya.
Pokok Hopea Subalata atau merawan giam kancing yang hanya terdapat di Taman Warisan Selangor juga antara pokok endemik yang disemai di pusat ini.
Ia sering disalah anggap sebagai pokok brokoli.
“Ramai menyangka merawan giam kancing adalah pokok brokoli, sebenarnya tidak.
“Ia adalah pokok Dryobalanops Aromatica, spesis keluarga Dipterocarpaceae iaitu pokok kapur,” katanya.
Kongsinya lagi, pokok kapur mengeluarkan damar berbau harum.
Baunya boleh dicium daripada daun-daun yang diramas.
Selain itu, ia juga dijadikan sebagai kapur barus untuk mengharumkan ruang dalam rumah.
Bengkel jaga hutan
Intan Syafiqah berkata, di Elmina, TRCRC bertekad untuk mempertingkatkan biodiversiti bandar melalui pelbagai inisiatif.
Antaranya, dengan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan landskap yang mengalami kemerosotan selain kawasan berhampiran tebing sungai di Selangor dan Kuala Lumpur.
Usaha ini juga bertujuan meningkatkan ketahanan ekologi dan habitat yang berfungsi untuk hidupan liar tempatan.
“TRCRC menumpukan usaha mempertingkatkan biodiversiti bandar dengan menghijaukan semula tanah yang merosot di kawasan utama di bandar yang dikenal pasti melalui kajian lapangan menyeluruh.
“Pendekatan kami ini memberi penekanan kepada prinsip ‘spesis yang betul di tempat yang betul’ bagi memastikan kejayaan penanaman dan pemuliharaan yang dijalankan di TRCRC,” katanya.
Bengkel Menjaga Hutan Kita itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelami sendiri usaha pemuliharaan biodiversiti bandar di samping membolehkan peserta merasai pengalaman mencampurkan tanah, mengisinya ke dalam polibeg dan seterusnya memindahkan anak benih ke dalam polibeg.
Bagi Saiful Naim Abdul Hamin dan Rabiatul Adawiyah Zakaria, meluangkan masa bersama dua anak lelaki mereka, Adam Solihin, 10, dan Alif Daniel, 8, di bengkel berkenaan merupakan detik yang menyeronokkan.
“Ini peluang terbaik untuk mendekatkan anak-anak dengan alam semula jadi dan memberi pengalaman yang mereka juga boleh memainkan peranan dalam menjaga hutan kita.
“Paaling seronok apabila mereka dapat memindahkan anak benih dan belajar banyak perkara baharu mengenai pelbagai jenis dan spesis pokok hutan yang ada serta kepentigannya,” katanya.










