JIUQUAN: Tiga angkasawan China termasuk seorang jurutera penerbangan wanita negara itu berlepas ke Stesen Angkasa Tiangong awal pagi ini.
Misi Shenzhou-19 yang bermula pada pukul 4.27 pagi (waktu tempatan) dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China akan menyaksikan kru melaksanakan eksperimen penting dengan matlamat menghantar manusia ke Bulan menjelang 2030 serta membina pangkalan di sana, lapor agensi berita Xinhua dan CCTV.
Antara kru tersebut ialah Wang Haoze, 34, yang merupakan satu-satunya jurutera penerbangan wanita China, menjadikannya wanita ketiga dalam sejarah China yang menyertai misi angkasa lepas.
Menurut Agensi Angkasa China (CMSA), pelancaran tersebut disahkan sebagai berjaya sepenuhnya.
“Seperti orang lain, saya bermimpi untuk berada di stesen angkasa dan melihat keadaannya.
“Saya ingin menunaikan setiap tugasan dengan teliti dan melindungi rumah kami di angkasa,” kata Wang pada sidang media.
Kru tersebut diketuai oleh Cai Xuzhe, 48, bekas juruterbang tentera udara yang berpengalaman dalam misi Shenzhou-14 pada 2022 manakala seorang lagi anggota, Song Lingdong, 34, turut melengkapkan pasukan angkasa itu.
Pasukan itu dijadual kembali ke bumi pada akhir April atau awal Mei tahun depan.
China menggiatkan usaha ke arah mencapai impian angkasa di bawah Presiden, Xi Jinping, dengan program angkasanya yang ketiga selepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah meletakkan manusia di orbit serta mendaratkan rover di Marikh dan bulan.
Misi enam bulan pasukan ini akan menyaksikan mereka menjalankan pelbagai eksperimen, termasuk menguji bahan komponen ‘bata tiruan’ yang menyamai tanah bulan, yang akan dihantar ke Tiangong oleh kapal kargo Tianzhou-8 pada November. -AGENSI









