Impian jadi nyata - Mawar Rashid - Utusan Malaysia

Impian jadi nyata – Mawar Rashid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu ketika dahulu, wanita bernama Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Mawar Rashid ini pernah dikutuk dan dicemuh gara-gara sifat bodoh-bodoh alangnya.

Lebih mudah difahami dalam bahasa terkini, sifatnya itu bagaikan seorang perempuan ‘bimbo’lah. Cantik, tetapi ada ketika tidak berapa cerdik.

Tetapi, sungguhpun perkara itu dianggap begitu subjektif pada penilaian orang, Mawar membuktikan bahawa dia tidak seperti yang disangka.

Antara yang jelas, selain kerjaya lakonan, dia kini sudah mampu tersenyum lebar menerusi kejayaan empayar perniagaannya di bawah jenama Mawarose yang diusahakan bersama keluarga sejak setahun yang lalu.

Meraih pandangannya mengenai transisi diri yang semakin membanggakan, Mawar akui, jika tanpa pelbagai kenangan dan pengalaman lalu, barangkali dia tidak mungkin berada pada tahap sekarang.

“Dari kecil memang suka bercita-cita tinggi. Tengok drama di kaca televisyen, terus pasang impian, ‘satu hari nanti aku akan jadi seorang pelakon!’.

“Bukan sekadar kata, saya buat dan jadikan ia satu kenyataan. Dan siapa sangka, ia benar-benar terjadi dan orang kenal saya sekarang.

“Sama seperti dunia perniagaan, saya pasang impian nak jadi seorang usahawan, Alhamdulillah, satu lagi hajat saya tercapai,” katanya.

Kongsi Mawar, sukar untuk dia melupakan pengalaman pahit apabila dirinya menjadi bahan kejian orang dan perihal lama itu pernah menjadikan dirinya hilang keyakinan.

“Masa masuk pertandingan Dewi Remaja, saya teruk kena kutuk. Kemudian saya pula tak berapa pandai berbahasa Melayu standard kerana keluarga lebih selesa berdialek Kelantan dan Siam.

“Saya ingat lagi, dulu saya tak ada tempat bergantung bila kena kecam selain keluarga.

“Orang lain menjauh dan saya seorang diri berusaha untuk naikkan kembali keyakinan serta bangkit dari kejatuhan.

“Tetapi semua itu tak membuat kan saya menyesal. Malah, bila sudah berada di tahap sekarang, saya pula nak bantu orang lain sebab faham bagaimana perasaannya kalau kita susah dan jatuh, tetapi tiada yang menghulurkan tangan,” katanya.

Bangga atas usaha

Beralih topik kepada dunia perniagaannya, Mawar bersyukur dan berbangga kerana pada 17 April lalu menyaksikan ulang tahun pertama jenama Mawarose dalam pasaran.

Selayaknya untuk dia berasa bangga kerana sebagaimana orang lain, Mawar meski sedar punya nama dalam industri dan popular sebagai artis, ia bukan tiket untuk dia bermain-main dalam berniaga.

“Bila masuk dunia keusahawanan ini, saya banyak belajar. Dulu pernah saja main ‘langgar’ sebab cetek ilmu. Tapi kalau tak nak belajar lagi susah sebab saya yakin jika ada ilmu, sebarang bisnes pun boleh dikendalikan dengan baik.

“Saya memang nak buat betul-betul sebab itulah sanggup berhabis masa dan duit untuk masuk kelas intensif perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, melihat kepada sambutan produk Mawarose dan mengaitkannya dengan gelaran jutawan, hal itu mungkin belum lagi kesampaian.

Kata isteri Raden Faizal Yaakob ini, perjalanannya masih jauh lagi dalam bidang ini namun dia bersyukur dan berterima kasih kerana setakat ini banyak pihak memberi sokongan padu pada usaha dan perniagaannya.

“Tentu sekali suami, keluarga dan rakan-rakan terdekat banyak memberi sokongan.Tapi untuk katakan yang saya sudah kaya atau jutawan, mungkin belum lagi.

“Tapi kalau orang mendoakan saya jadi jutawan, itu juga satu doa yang baik.

“Mana tahu, menerusi pencapaian itu saya mampu membantu lebih ramai orang di luar sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×