KUALA LUMPUR: Semua jawatan dalam PKR dipertandingkan termasuk jawatan Presiden parti yang diadakan setiap tiga tahun sekali.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, ini kerana PKR mengamalkan demokrasi dalam kalangan ahli, sekali gus tidak meletakkan sebarang halangan untuk bertanding di mana-mana jawatan yang dipertaruhkan.
Malah, menurut Fuziah, amalan demokrasi itu selaras dengan prinsip parti yang memberi keadilan kepada semua pihak tanpa mengira bangsa.
“Dalam parti memang terbuka untuk semua jawatan dipertandingkan termasuk jawatan Presiden. Kita memang tidak sekat apa-apa dari segi prinsipnya kerana ia adalah hak setiap ahli parti.
“Malah, setakat ini belum ada sebarang usul yang dikemukakan sebab kita belum sampai ke tahap itu, kita baru mahu bincang mengenai mekanismenya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengekalkan kedudukan sebagai Presiden parti sejak 1998 sehingga kini, serta diangkat sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sejak 2020.
Kedudukan itu tidak pernah dicabar oleh mana-mana individu, sekali gus meletakkan Anwar sebagai tunggak dalam membawa hala tuju parti itu ke arah reformasi demi masa depan yang lebih baik.
Mengulas lanjut, Fuziah turut berkata, pemilihan parti itu secara asasnya akan diadakan pada Mei 2025, namun belum memutuskan perkara itu bersama pimpinan tertinggi PKR yang lain.
“Kalau ikut jadual, setiap tiga tahun akan berlaku Pemilihan PKR iaitu Mei 2025, tetapi kita belum buat keputusan lagi. Malah, parti juga boleh minta untuk membuat penangguhan selama 18 bulan.
“Tetapi untuk sekarang ini, kita belum buat keputusan dan masih bincang tentang konsep dan mekanisme seperti yang disebut Presiden, mahu lihat kedudukan pimpinan muda dan wanita, perlu ada ruang untuk Orang Asli, jadi itu di antara mekanisme yang sedang kita bincangkan.
“Jadi, selagi belum ada sebarang keputusan, mengikut undang-undangnya adalah Mei 2025,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar mahu supaya pemilihan PKR disegerakan, dengan menjelaskan ia akan membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dan pemimpin lama untuk berganding bahu menguruskan parti dengan lebih efektif.
Malah, Anwar berkata, keputusan untuk tidak menangguhkan pemilihan dalam Mesyuarat Biro Politik parti baru-baru ini adalah mengambil kira tarikh jangkaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih jauh. – UTUSAN











