PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak menganggap kemenangan selesa 3-0 ke atas Selangor FC dalam saingan Liga Super kelmarin sebagai noktah untuk menjulang kejuaraan musim ini.
Sebaliknya, pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, perjalanan skuad Harimau Selatan masih jauh dan perlu mengekalkan konsisten sehingga musim ini berakhir untuk mengesahkan kejuaraan milik mereka.
Bagaimanapun, kemenangan ke atas Selangor yang berada di tangga kedua Liga Super sangat penting untuk mereka menjarakkan lagi kedudukan untuk menjulang trofi Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut.
“Semua perlawanan awal sukar, jadi tiga mata adalah sangat penting untuk pasukan. Namun, kami kena fokus satu demi satu perlawanan dan kami masih ada banyak perlawanan yang perlu diharungi.
“Pada pendapat saya, sejak dari awal musim hingga sekarang kami menunjukkan perkembangan dan semua pemain ada tanggungjawab masing-masing ketika bertahan mahupun menyerang.
“Saya gembira dengan prestasi semua pemain yang diturunkan, namun kami kena terus bekerja keras lagi selepas ini. Kami kena tingkatkan lagi kemahiran individu dan cara permainan berpasukan.
“Perkara itu mustahak kerana kami akan harungi musim yang panjang dan kami tahu selepas ini kami akan hadapi aksi penting (termasuk ACL Elite),” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Dalam aksi berkenaan, tiga jaringan JDT dihasilakn oleh Romel Morales pada minit ke-29 sebelum Bergson Da Silva meledak dua gol termasuk sepakan penalti pada separuh masa kedua
“JDT beraksi amat baik, berintensiti tinggi, dinamik dan tidak mudah memberikan bola kepada lawan. Ini yang kami fokus dalam, khususnya dalam aspek penguasaan bola.
“Aksi separuh masa pertama, kami berjaya mencari pemain di ruangan kosong dan menjaringkan gol. Babak kedua pula JDT lebih banyak mengawal bola dan menyerap tekanan lawan,” tambah Bidoglio.
Kemenangan berkenaan menyaksikan JDT kini mengumpul 34 mata selepas mengharungi 12 perlawanan, lapan mata di depan Selangor yang menghuni tangga kedua.
Aksi seterusnya menyaksikan JDT akan bertemu Negeri Sembilan di gelanggang lawan manakala Selangor akan menentang Kedah pada 2 November ini. – UTUSAN











