Impian miliki taman ros tercapai

Impian miliki taman ros tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAMAN kanak-kanaknya dipenuhi dengan khayalan untuk memiliki kediaman berwarna putih dikelilingi taman ros berwarna-warni.

Idea itu muncul secara tiba-tiba dek kerana tidak berpeluang untuk keluar bermain bersama rakan-rakan, sepanjang usia kecil. 

Sebagai anak sulung, Sharifah Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad, 46, menggalas tanggungjawab membantu ibu mengemas rumah, memasak dan menjaga adik-adik lain. 

Di masa terluang, bayangan rumah putih dan taman ros yang dilihat di dalam sekeping gambar sentiasa berlegar di mindanya hingga terbawa-bawa ke alam mimpi. 

Selepas lebih 20 tahun, siapa sangka bekas pensyarah kaunseling dan psikologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini berjaya merealisasikan angan-angan zaman ciliknya. 

Dia bukan sahaja mampu menghuni rumah putih seperti yang diidamkan, bahkan turut memiliki taman ros seluas 1.619 hektar di kediamannya di Kampung Tanjung Aur di Pantai Ali, Hulu Terengganu. 

“Memang daripada kecil lagi saya minat pada ros tetapi bukan disebabkan emak menanamnya di rumah tetapi kerana khayalan saya semata-mata.

“Selepas tamat ijazah doktor falsafah (PhD) pada 2012, Alhamdulillah saya dapat capai angan-angan itu dengan bantuan dan dorongan suami. 

“Kebetulan suami memang minat bercucuk-tanam dan saya cakap mahu tanam ros di rumah baru kami,” katanya kepada Seri baru-baru ini. 

Pada peringkat awal, suaminya, Engku Hassan Engku Wok Zin, 55, menanam sebanyak 300 pokok ros. 

Makin lama jumlah itu makin bertambah dengan terkini, menjangkau hampir 3,000 pokok dengan 700 spesis.

Sebahagian besarnya ialah ros Inggeris yang merupakan kegemaran ibu lima anak berusia antara enam hingga 23 tahun ini. 

Panorama indah taman ros itu sekali gus menjadi terapi buat dirinya dan keluarga hingga kini. Malah ruangan itu turut berfungsi sebagai tempat perbincangan di samping mengeratkan hubungan kasih sayang dengan suami. 

HIMPUN JUTAAN PEMINAT 

Hobi Sharifah Marzety Adibah berkembang selepas gambargambar taman ros miliknya tular di media sosial, tidak berapa lama selepas itu. 

Rata-ratanya kagum dengan keindahan taman dikenali sebagai Zety Roses itu sambil menyifatkan suasana berkenaan seperti di Eropah. 

“Sejak itu, kediaman saya mula diserbu peminat ros Terengganu hingga merebak ke seluruh Malaysia. Ramai yang mahu tahu tentang penggunaan baja dan tanah yang saya gunakan. Malah ada juga yang mahu membeli pokok. 

“Lantas saya dan suami sepakat untuk membesarkan lagi taman di samping mengupah pekerja dalam kalangan penduduk kampung bagi melayan pengunjung memandangkan ketika itu kami masih bekerja,” katanya. 

Kini, Taman Zety Roses merupakan satu-satunya taman ros tanah rendah terbesar di Malaysia.

Selain sebagai pusat jualan, ia turut berfungsi untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), di samping terapi komuniti.

Istimewanya, pasangan suami isteri ini turut menyediakan pakej bimbingan dan tunjuk ajar bagi setiap pembelian yang dibuat pelanggan.

Antara produk keluaran Zety Roses ialah baja organik, medium ros, semburan serangga dan semburan organik suplemen. 

TERAPI LUMPUH 

Pada 2018, kesihatan Sharifah Marzety Adibah diuji apabila disahkan lumpuh ketika hamil anak bongsunya.

Ia disebabkan penyakit slip disc yang makin memburuk susulan keputusannya mahu meneruskan kandungan itu. 

Namun, penderitaannya tidak berpanjangan apabila kembali dapat berjalan semula selepas sembilan bulan duduk di kerusi roda. 

Perkembangan itu turut mengejutkan doktor yang merawatnya kerana menyangka dirinya sukar pulih. 

“Doktor tanya apa amalan terapi yang dibuat dan saya katakan cuma melihat taman ros di rumah.

“Tanpa sedar, ros menjadi daya penarik untuk saya berjalan semula, seolah-olah fisioterapi. Walaupun ketika itu langsung tidak boleh berjalan tetapi saya kuatkan semangat untuk bertatih perlahan-lahan. 

“Setiap pagi, pekerja membantu memapah saya di taman manakala petang, tugasan itu dilakukan suami selepas pulang dari kerja bagi membolehkan saya dekat dengan pokok-pokok termasuk menyentuh dan menghidu haruman wanginya. 

“Mungkin jika tiada taman itu di rumah, saya masih lagi lumpuh hingga kini,” kongsinya mengimbau pengalaman lalu. 

Di saat dirinya hilang upaya untuk bergerak, namun fikiran dan hati Sharifah Marzety Adibah kekal tenang dan positif.

 Tambahan pula, ketika itu, dia sibuk menguruskan perniagaan berasaskan ros secara komersial dan berskala besar. 

“Sepanjang tempoh bercuti tanpa gaji itu, fokus saya tertumpu kepada perniagaan ros hingga tidak sempat untuk berasa sedih atau murung akibat ‘hilang’ kaki,” katanya.

Sharifah Marzety Adibah mengambil keputusan berhenti kerja selepas 10 tahun bergelar pensyarah dan tidak lama kemudian, disusuli suaminya yang merupakan ustaz di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato Haji Abbas di Kuala Terengganu bagi memberi tumpuan sepenuhnya pada taman ros mereka dan cabang perniagaan lain yang mereka usahakan.

‘MACAM MANUSIA, MAHU PERHATIAN’

HOBI menanam pokok ros menuntut disiplin tinggi bagi memastikan bunganya dapat berkembang mekar dan cantik. 

Sharifah Marzety Adibah berseloroh, sifat  ora itu sama seperti manusia yang memerlukan perhatian iaitu daripada segi ‘makan’, minum dan cahaya mencukupi. “Paling penting, kita perlu ada kepercayaan yang aktiviti menanam dibuat untuk meraih pahala dan mengimarahkan alam semula jadi ciptaan Allah. 

“Dengan kepercayaan dan sentuhan ‘kasih sayang’ itu, seseorang pasti tidak akan rasa terbeban untuk menjaganya,” kata pemenang Wanita Ikon Malaysia 2024/2025 ini. 

Ujarnya, proses penjagaan asas ros meliputi dua kali siraman iaitu pada pagi dan petang manakala baja dan semburan serangga pula selang seminggu diikuti cahaya (empat hingga enam jam sehari). 

Memotong batang kering turut disarankan agar pokok tidak mudah terkena penyakit di samping menggembur tanah sebelum membaja. 

RAHSIA MEKAR SERENTAK 

Minat mendalam pada ros mendorong Sharifah Marzety Adibah melakukan R&D yang membolehkan bunganya mekar serentak. 

Dengan kaedah itu, kesemua 3,000 pokoknya dapat berbunga pada masa yang sama iaitu setiap lima minggu.

“Ros sentiasa berbunga sepanjang tahun cuma apabila saya tetapkan tempohnya, ia dapat mekar serentak dan bukan berperingkat-peringkat seperti kebiasaannya. 

“Secara tidak langsung, panorama di taman jadi lebih indah apabila keseluruhan ruang dipenuhi ros yang berwarna-warna seolah-olah musim bunga di Eropah dengan harumannya yang wangi,” katanya. 

Akuinya, ros atau nama saintifknya rosa, menawarkan banyak khasiat kerana sifatnya yang tinggi antioksida. 

“Selain berfungsi meredakan stres, merawat luka dan menyejukkan badan, ia dipercayai berupaya mengembalikan seri wajah agar kekal awet muda,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×