PUTRAJAYA: Lebih 50,000 penggiat industri reka bentuk dan pengubahsuaian hartanah berdepan kerugian apabila pasaran itu dimanipulasi pengusaha tidak berdaftar dengan menganiaya pengguna atas pelbagai kes penipuan.
Mengikut rekod, kira-kira 1,200 kes dilaporkan kepada pihak berkuasa di seluruh negara tahun lalu yang menyebabkan nilai kerugian RM50 juta setahun.
Menurut penggiat industri reka bentuk, Chuah Chong Heong, kes-kes penipuan yang kian berlaku ini sudah tentu menjejaskan imej profesionalisme industri reka bentuk, pembinaan dan arkitek.
“Pengguna yang tidak berpengetahuan dalam bidang renovasi dan pembinaan sering dikelirukan oleh penipu atau scammer ini yang tidak bertanggungjawab dengan menyamar sebagai pengusaha sektor ini.
“Ini mengakibatkan kedudukan profesional yang berlesen dan berkemahiran berjumlah lebih 50,000 orang termasuk mereka berkemahiran dan berpengalaman sering menimbulkan syak wasangka orang ramai dan tidak dihormati,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Chong Heong yang juga Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat reka bentuk, Rekatone berkata, pengusaha berdaftar ini mempunyai lesen dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), namun kini terpaksa bersaing dengan kontraktor haram apabila mereka memberikan sebut harga yang jauh rendah dari pasaran kepada pelanggan.
Katanya, situasi ini berlaku kerana kontraktor haram langsung tidak perlu mempertimbangkan soal modal dan kos, sekali gus tidak berniat untuk membuat dan menyiapkan kerja-kerja renovasi.
“Ini tentunya akan menjejaskan ekonomi negara jika kontraktor berlesen mengalami kerugian dan tidak mendapat tawaran re novasi daripada pengguna.
“Jika pengguna tersilap melantik kontraktor haram, mereka juga akan mengalami kehilangan deposit dan wang renovasi yang besar,” katanya.
Justeru, beliau menasihati pengguna untuk menyemak kesahihan sebelum bersetuju untuk melantik mana-mana kontraktor terlibat sama ada mereka kontraktor itu berdaftar dengan CIDB dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Ini termasuk mempunyai Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan yang dikeluarkan CIDB melalui Program Penilaian Kompetensi Kemahiran yang mana kompetensi pekerja binaan akan dinilai dan diakreditasi untuk memperakukan mereka sebagai pekerja binaan yang kompeten.
Pekerja binaan yang kompeten akan melayakkan mereka untuk melaksanakan kerja-kerja mahir di dalam industri pembinaan berdasarkan bidang kemahiran mereka.
Katanya, pengguna wajib mengunjungi pejabat kontraktor pengubahsuaian itu untuk memastikan mereka beroperasi dan jangan sekali-kali berunding atau mengesahkan urusan renovasi di mana-mana kedai kopi kerana pengguna tidak akan dapat mengesan latar belakang kontraktor berkenaan jika ada apa-apa berlaku.
“Pengguna boleh melayari media sosial dan mendapat informasi tentang kontraktor itu. Walaupun seseorang kontraktor diiktiraf dengan apa-apa anugerah yang berkredibiliti dan boleh dipercayai, pengguna masih perlu membuat kajian,” katanya. – UTUSAN











