PETALING JAYA: Petugas kesihatan bimbang dikenakan tindakan jika mereka membuat laporan kes buli dalam sistem aduan, MyHELP yang dilancarkan Kementerian Kesihatan sebelum ini.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, berdasarkan laporan yang diterima, ia termasuk kebimbangan petugas akan kesan negatif terhadap kerjaya mereka jika membuat laporan.
Menurutnya, kementerian juga perlu memberi penjelasan definisi ‘buli’ secara terperinci serta menyediakan senarai panduan ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’ yang jelas supaya petugas dapat menjadikannya sebagai rujukan.
“Untuk mengharapkan mangsa buli membuat aduan secara langsung mungkin kurang realistik kerana wujudnya jurang kuasa yang besar antara pembuli dan mangsa.
Malah, wujud juga persepsi tiada tindakan tegas diambil terhadap pelaku buli, yang menyumbang kepada kekalnya budaya buli di tempat kerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, walaupun MyHELP memudahkan petugas kesihatan menyalurkan aduan terus kepada Unit Integriti, keengganan untuk tampil membuat aduan kekal tinggi terutama dalam kalangan doktor pelatih dan kakitangan junior.
“Majoriti mangsa bimbang aduan mereka akan memberi implikasi terhadap penilaian prestasi, kerana ramai yang bergantung sepenuhnya kepada penyelia atau ketua jabatan dalam menentukan kelangsungan kerjaya mereka.
“Ini termasuk doktor pelatih yang memerlukan kelulusan penyelia untuk lulus setiap posting, serta pakar perubatan yang belum ditempatkan yang bergantung kepada penyelia untuk dinilai kelayakan mereka,” ujarnya.
Akhbar ini kelmarin melaporkan, pengurusan sistem aduan buli melibatkan petugas kesihatan masih samar meskipun kemudahan sistem dalam talian, MyHELP telah diwujudkan bagi menangani masalah itu.
Mengulas lanjut, Boon Chye berkata, Kementerian Kesihatan perlu menubuhkan saluran aduan pihak ketiga yang boleh digunakan oleh saksi kes buli, agar siasatan dapat dilakukan tanpa melibatkan mangsa secara langsung.
“Tindakan tegas terhadap pembuli perlu dipertingkatkan. Tanpa tindakan yang jelas, budaya buli akan terus berleluasa.
“Namun, pada masa sama, teguran dan arahan yang wajar perlu dianggap sebagai tanggungjawab penyelia dalam memastikan kakitangan menjalankan tugas dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Dr. Bon Saidi Abdul Razak berkata, sistem MyHelp mampu berfungsi dengan baik tetapi belum diperkenalkan secara meluas kepada semua doktor.
Jelas beliau, perlu ada prosedur operasi standard (SOP) khas yang lebih terperinci berkaitan kes buli untuk mengelak kes daripada berulang.
Tambah beliau, dengan penambahbaikan terhadap garis panduan dan pelaksanaan sistem aduan, diharap insiden buli dalam kalangan petugas kesihatan dapat dikurangkan dan suasana kerja yang lebih selamat dapat diwujudkan.
“Kementerian perlu memastikan bahagian psikiatri hospital turun padang dan menilai keadaan mental doktor. Kehadiran pasukan psikiatrik ini boleh memberikan kaunseling dan rawatan jika diperlukan.
“Setiap hospital mempunyai jabatan psikiatrik, maka sebarkanlah pasukan ini ke semua jabatan secara berkala untuk memantau status mental doktor-doktor di hospital,” katanya. – UTUSAN











