PETALING JAYA: Isu kesihatan mental di tempat kerja masih dilihat sebagai perkara sensitif untuk dibincangkan dengan hanya 55 peratus pekerja di negara ini berasa selesa memberitahu pihak pengurusan mengenai masalah yang mereka hadapi.
Menurut laporan Employment Hero, peratusan tersebut membangkitkan kebimbangan terhadap kesihatan mental di tempat kerja kerana ia dilihat masih menghalang pekerja daripada mendapatkan sokongan yang diperlukan.
Malah, 30 peratus pekerja mendapati tekanan kewangan dan peningkatan kos sara hidup sebagai punca utama mereka berdepan masalah keletihan melampau yang mendorong kepada masalah kesihatan mental.
Berdasarkan laporan Business Today, 50 peratus pekerja menyatakan majikan menyokong inisiatif kesihatan mental manakala 49 peratus masih bimbang pendedahan mengenai isu berkenaan mungkin membawa kesan negatif seperti halangan dalam kerjaya atau penilaian negatif daripada rakan sekerja.
Selain itu, 68 peratus pekerja Melayu berisiko menghadapi tekanan mental di tempat kerja, diikuti Cina (25 peratus) manakala India (7 peratus).
Pakar psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, peningkatan gangguan kesihatan mental adalah disebabkan beban kerja berlebihan, tekanan masa, ketidakstabilan pekerjaan dan kurangnya keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.
Menurutnya, tekanan peribadi dihadapi di luar tempat kerja mungkin terbawa-bawa ke dalam persekitaran kerja memberi kesan kepada kesejahteraan mental dan ketidakmampuan pekerja mengurusnya.
Jelasnya, fenomena fear of missing out (FOMO) atau ketakutan untuk terlepas peluang semakin menjadi isu di tempat kerja sekali gus menyebabkan peningkatan tekanan mental dalam kalangan pekerja.
“Tekanan kerja, hubungan rakan sekerja dan beban tugas memberi kesan yang besar terhadap kesihatan mental pekerja serta menjejaskan motivasi dan produktiviti pekerja.
“Tekanan tidak terkawal boleh menyebabkan kebimbangan dan keletihan mental. Hubungan rakan sekerja yang tegang boleh menambah lagi tekanan manakala beban tugas terlalu tinggi atau tidak realistik boleh membawa kepada keletihan emosi dan fizikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menunjukkan satu daripada tiga rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.
Laporan Jobstreet by Seek 2024 mendedahkan 18 peratus pekerja mengkategorikan tempat kerja sebagai ‘sangat tertekan’ dengan industri perkhidmatan pengguna sebagai paling tertekan, diikuti peruncitan dan perdagangan.
Menurut laporan itu, punca utama tekanan termasuk beban kerja yang berat (37 peratus), kekurangan latihan atau sokongan (30 peratus) dan tekanan tinggi daripada pihak pengurusan atau persekitaran yang perlukan kepantasan dalam melakukan kerja (29 peratus).
Mengulas lanjut, Shazli berkata, isu kesihatan mental turut berpunca daripada ketidakupayaan pekerja untuk melaksanakan tugas disebabkan oleh ketidakserasian dengan pekerjaan atau kekurangan kemahiran.
“Kes buli di tempat kerja juga antara faktor berlakunya masalah kesihatan mental. Individu yang pernah dibuli atau berasa lemah cenderung membuli orang lain sebagai cara menutup kelemahan diri mereka.
“Tekanan yang timbul daripada gaya hidup moden dan penggunaan media sosial turut menyumbang kepada masalah mental yang mana pekerja mula membandingkan diri dengan orang lain,” jelasnya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada 10 pekerja mengalami masalah kesihatan mental seperti tekanan kronik, kebimbangan atau kemurungan.
Menjelang 2030, masalah kesihatan mental berisiko menjadi penyakit kedua terbesar selepas penyakit jantung jika tiada program pencegahan yang efektif dilaksanakan. – UTUSAN










