Deepavali : Sari, pakaian moden jadi pilihan

Deepavali : Sari, pakaian moden jadi pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSEDIAAN untuk sambutan Deepavali masyarakat India di negeri ini tetap meriah di saat ekonomi negara sedang berkembang secara positif kebelakangan ini. 

Bila berbicara bab perayaan yang turut dikenali dengan nama Pesta Cahaya, pakaian untuk hari kebesaran penganut agama Hindu iaitu sari sudah pasti menjadi fokus utama.

Jika wanita Melayu memilih baju kurung moden sebagai busana baju raya mereka, wanita dalam kalangan masyarakat India komited menjadikan sari sebagai pakaian tradisional untuk sambutan Deepavali. 

Pemilihan sari lazimnya disebabkan wanita menggemari coraknya yang unik, warnanya bertenaga dan pembuatannya yang halus. 

Kakitangan Gayathri Silk Saree Palace Jalan Tengku Kelana Klang, M.Uma Mageswari, 43, sudah 20 tahun bekerja di kedai fabrik tersebut. 

Menerusi pengalaman, katanya banyak faktor menentukan pemilihan sari untuk Deepavali.

Katanya ada pembeli membeli sari dek terpikat dengan warnanya, malah ada juga yang membeli kerana ketinggian kualiti fabrik ditawarkan. 

“Jika mampu dan menepati cita rasa, harga tidak jadi soal. Sari yang berharga ribuan ringgit dengan fabrik berkualiti tinggi tetap menjadi rebutan,” katanya ketika ditemui di Little India Klang di sini baru-baru ini. 

Kedai pakaian tradisi India tersebut, menyediakan aneka pilihan sari daripada harga sederhana hinggalah yang berharga ribuan ringgit. “Kain sari di sini diimport dari India. 

Ia memberi banyak pilihan sari daripada harga serendah RM150 hingga RM10,000,” katanya. Menariknya ada sejenis sari dari Kanjipuram, Tamil Nadu India mencecah harga lima angka yang boleh ditempah khas. 

“Sari untuk pelbagai golongan mengikut harga dan cita rasa masing-masing. Ada yang memilih kerana jenis fabrik, corak, warna yang mereka mahu gayakan semasa Deepavali,” katanya.

Bagi menarik seisi keluarga ke kedai fabrik tersebut, pihaknya turut menjual pakaian tradisional untuk lelaki dan kanak-kanak seperti aneka pilihan vesti (baju raya) dan dothi untuk lelaki. 

 

BAJU MODEN 

Bagi peniaga pakaian moden, A.Hemalatha, 42, beliau memilih untuk menjual pakaian potongan moden untuk sambutan Deepavali.

Katanya, pakaian moden yang dikenali sebagai kurti, dijual dengan harga berpatutan bermula daripada RM49. 

“Baju kurti berkonsep baju siap three piece mengandungi baju,seluar dan selendang. 

“Kita tidak menjual sari di sini. Kesemua kurti ini di import dari India untuk sambutan Deepavali tahun ini,” katanya. 

Mengulas mengenai sambutan terhadap fesyen kurti tersebut ujarnya, hingga kini penjualannya amat menggalakkan terutama pada hujung minggu sejak sebulan yang lalu. 

Potongan kurti yang bersifat kontemporari menarik ramai pembeli ke kedainya. 

“Dalam keadaan ekonomi yang baharu hendak pulih ini, semua orang berjimat-cermat untuk berbelanja. Kita akan pastikan mereka membuat pembelian baju moden yang mereka hajati,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×