Kafe di kawasan perumahan bantu mobiliti penduduk

Kafe di kawasan perumahan bantu mobiliti penduduk

SEBUAH banglo yang dijadikan kafe di Kuala Lumpur.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRANSFORMASI unit kediaman kepada ruang perniagan menimbulkan pandangan yang berbeza khususnya kepada penduduk sesebuah kawasan perumahan. 

Oleh itu, sesuatu perubahan dalam kawasan perumahan harus mendapat keseimbangan pendapat dalam memastikan keharmonian antara penduduk setempat terpelihara. 

Penjawat awam, Nor Azira Azua Osman berkata, kewujudan rumah yang ditransformasi kepada kafe di sekitar kawasan kediaman memberikan banyak manfaat kepada penduduk setempat.

Katanya, ia sangat membantu terutamanya bagi orang bekerjaya sepertinya yang tiada masa untuk memasak. 

“Dengan adanya kafe di kawasan perumahan, lebih mudah untuk saya mendapatkan makanan tanpa perlu keluar daripada kawasan kejiranan.

“Ia sudah pasti menjimatkan masa dan lebih cepat berbanding perlu memandu serta menghabiskan banyak masa di atas jalan raya yang sudah pasti akan sesak apabila waktu puncak,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Berkongsi pendapat yang sama, pekerja swasta, Nur Hafizh Asman berkata, kewujudan kafe di kawasan perumahan memberikan pelbagai kemudahan buat dirinya. 

“Sebagai penduduk di kawasan ini, saya sangat menyokong kewujudan kafe di kawasan perumahan. 

“Ia memberikan kemudahan yang luar biasa, terutamanya bila kita mahukan tempat yang dekat untuk bersantai atau bertemu rakan-rakan tanpa perlu memandu jauh. 

“Masalah kesesa­kan trafik atau ken­deraan yang meng­halang jalan juga tidak selalu terjadi kerana kafe di kawasan perumahan saya hanya penuh dengan pelanggan pada cuti hujung minggu sahaja,” katanya. 

Jelasnya, kewujudan tempat sebegitu juga memudahkan mobiliti dan mampu meningkatkan kualiti hidup setempat jika dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Dengan adanya kawasan makanan di kawasan kejiranan dapat membantu penduduk sekitar meningkatkan ekonomi dengan meletakkan barangan dan sebagainya. 

“Mungkin akan ada beberapa kesan yang buruk tetapi saya percaya banyak manfaat yang dapat diperolehi khususnya kepada masyarakat setempat,” ujarnya. 

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Nazrul Azhari berpendapat, kewujudan kafe di kawasan persekitaran rumah memberikan banyak kesan negatif kepada penduduk setempat. 

“Jika rumah yang dijadikan kafe itu terletak di kawasan perumahan dengan jalan yang sempit, amatlah tidak sesuai, tambahan pula sekiranya trend itu diikuti oleh kejiranan di mana dalam satu kawasan perumahan terdapat lebih daripada tiga kafe yang ditransformasi.

“Kawasan perumahan yang sepatutnya tenang akan menjadi sesak dengan masalah parkir serta sampah. Jika kafe tersebut tular di sosial media, maka trafik di kawasan perumahan akan lebih tinggi sekali gus mengganggu penduduk.

“Sudah pasti, kesesakan dan pelbagai masalah lagi akan membawa kepada pencemaran bunyi dan memberikan masalah keselamatan yang besar kepada penduduk,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×