Kebanyakan pesakit kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang memerlukan dialisis akan ke pusat-pusat dialisis tersedia di kawasan berhampiran rumah mereka untuk menjalani hemodialisis iaitu mencuci darah.
Bagaimanapun ini berbeza bagi pesakit buah pinggang yang memerlukan kaedah dialisis berbeza iaitu Dialisis Peritoneal (PD). Kaedah ini perlu dijalankan sendiri pesakit di rumah masing-masing.
Pesakit yang menjalani PD akan biasanya dibekalkan dengan ubat yang diberikan oleh pihak hospital iaitu beg yang mengandungi sejenis cecair khas untuk mencuci buah pinggang mereka.
Persoalannya, rawatan mencuci buah pinggang mennggunakan kaedah PD memerlukan persekitaran yang bersih dan bebas kuman bagi memastikan pesakit tidak terdedah kepada risiko jangkitan kuman.
Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azman Yacob berkata, hakikatnya agak sukar bagi kebanyakan pesakit memastikan persekitaran rumah atau ruang yang digunakan di rumah mereka untuk menjalankan PD bersih dan bebas kuman.

Justeru, beliau mencadangkan supaya pusat-pusat PD ditubuhkan di kawasan perumahan berhampiran pesakit seperti pusat hemodialisis sedia ada demi kemudahan pesakit.
“Kita perlu menyediakan pusat dialisis PD seperti mana pusat hemodialisis sebab di bandar raya Kuala Lumpur, kebanyakan rumah adalah rumah flat atau pangsapuri yang dihuni oleh pesakit PD.
“Bayangkan rumah kecil tiga bilik, anak-anak pula mungkin lebih daripada tiga orang. Jadi, di mana pesakit hendak buat PD dan di mana hendak menyimpan ubat-ubat mereka?
“Selain itu, apabila memasak, asap dan bau masakan akan terperangkap di dalam rumah dan menjejaskan persekitaran dalam rumah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambahnya, ruang terhad dan sempit ini menyukarkan pesakit menjaga kebersihan dan berkemungkinan tinggi boleh mendedahkan pesakit kepada risiko jangkitan yang boleh menyebabkan keadaan kesihatan mereka lebih serius.
Justeru, pusat khas PD perlu ditubuhkan berhampiran dengan kawasan perumahan seperti pusat wellness di negara-negara maju, di mana di dalam rumah pangsapuri mereka dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kesihatan, sosial, spiritual dan komersial.
“Kalau boleh wujudkan pusat PD di kawasan perumahan sama ada yang dikendalikan oleh Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF). Kerajaan boleh membantu dalam penyediaan peralatan dan sebagainya bagi membantu rakyat khasnya pesakit.
“Penubuhan pusat PD perlu memandangkan jumlah pesakit kegagalan buah pinggang yang memerlukan dialisis PD kian meningkat dari sehari ke sehari. Bukan semua pesakit boleh menjalankan hemodialisis dan begitu juga sebaliknya,” katanya.
Dr. Azman mengakui Polisi PD 2022 sudah disediakan tetapi buat masa ini memang sukar untuk melaksanakan pusat dialisis PD di kawasan perumahan atau berhampiran tempat tinggi pesakit seperti dicadangkan.
Ini berikutan cadangan itu belum dimasukkan ke dalam Jadual ke 13 untuk hospital atau klinik di bawah Akta 586 Kemudahan Swasta. Malah caj yang dikenakan juga perlu sekata mengikut jadual berkenaan.
“Kebanyakan kemudahan perubatan dalam negara adalah mengikut peraturan ditetapkan. Kita tidak boleh mengenakan caj sesuka hati kecuali caj harga ubat dan wad tetapi caj doktor juga perlu mengikut peraturan ditetapkan.
“Bila kita masukkan harga PD dalam satu jadual, ini membolehkan pusat swasta untuk membuka dan menjalankan operasi pusat PD untuk pesakit menggunakan dialisis berkenaan,”katanya.
Jumlah pesakit buah pinggang di seluruh negara dijangka meningkat 106,000 menjelang tahun 2040. Berdasarkan data ‘National Renal Registry’ pada penghujung tahun 2016, terdapat 39,711 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 13 peratus pesakit buah pinggang menerima kaedah rawatan PD pada 2016 berbanding 10 peratus pada 2011.
Perbezaaan dialisisKaedah PD memerlukan cecair dialisis dimasukkan ke dalam rongga peritoneal (rongga perut) di ruang abdomen melalui tiub khas yang dimasukkan secara kekal melalui prosedur pembedahan kecil.
Selaput atau membran yang menyelaputi abdomen (peritoneum) membolehkan bahan kumuh dan cecair yang berlebihan menyerap daripada darah ke dalam cecair dialisis. Cecair ini kemudiannya dibuang dari badan secara berkala.
Terdapat dua jenis PD iaitu Dialisis Peritoneal Ambulatori berterusan (CAPD) dan Dialisis Peritoneal Automatik (APD). CAPD dijalankan dengan beg PD yang mengandungi cecair dialisis (diantara 2 hingga 2.5 L) disambungkan.ke tiub tenckhoff untuk disalurkan ke dalam rongga peritoneal.
Cecair dialisis dibiarkan di dalam rongga ini selama 4 hingga 6 jam dan dikeluarkan dari abdomen seterusnya digantikan dengan cecair dialisis yang baru. Bagi mendapatkan dialisis yang mencukupi, 4 atau 6 kali pertukaran cecair dialisis diperlukan setiap hari. Biasanya, setiap pertukaran mengambil masa setengah jam dan di antara pertukaran berkenaan, pesakit bebas untuk menjalankan aktiviti harian.
Kandungan cecair dialisis terdiri daripada campuran pelbagai jenis garam dan gula (glukosa). Kepekatan kandungan gula dalam cecair dialisis menentukan kadar penyerapan pengeluaran cecair daripada pesakit.
Kebaikan utama kaedah rawatan ini adalah ia boleh dijalankan di rumah ataupun tempat kerja pesakit manakala APD pula, menggunakan mesin Cycler selama lapan hingga 10 jam yang biasanya dilakukan ketika pesakit tidur.
Antara risiko jangkitan kuman seperti hepatitis B dan C, risiko anemia, keperluan transfusi adalah kurang, disamping pengekalan fungsi ginjal untuk masa lebih lama.
Punca kegagalan buah pinggang
Dr. Azman berkata, kegagalan buah pinggang berlaku disebabkan gaya hidup seperti amalan diet tidak sihat dan seimbang selain disebabkan penyakit diabetes yang tidak terkawal.
“Hasil pemerhatian saya ketika bekerja di Kelantan, saya dapati amalan makan jamu seperti makjun dan ubat tahan sakit boleh menyumbang kepada kegagalan buah pinggang dan memerlukan dialisis.
“Saya pernah terjumpa seorang anak muda yang mengalami kegagalan buah pinggang. Puncanya, dia bekerja di ladang kelapa sawit dan mengalami sakit badan. Ini menyebabkan dia makan ubat tahan sakit setiap hari,” katanya.
Tambahnya, sesetengah orang juga mengamalkan makan makjun untuk kekal cergas namun perlu berhati-hati kerana bimbang ia dicampur dengan bahan yang membahayakan buah pinggang.
Herba juga kalau dimakan setiap hari boleh menimbulkan kesan sampingan. Bagaimanapun terdapat juga salah tanggapan makan ubat darah tinggi dan sebagainya boleh merosakkan buah pinggang.
Dr. Azman berkata, sebaiknya pesakit berjumpa doktor sebelum makan mana-mana ubat. Ubat yang dibekalkan doktor pula biasanya adalah yang bersesuaian dengan keperluan pesakit.
“Kebiasaannya doktor akan tanya sejarah pesakit terutama alahan ke atas ubat. Ubat yang diberi ada tempoh dia. Sebagai contoh, semua yang kita makan berlebihan akan mendatangkan mudarat termasuk nasi.
“Ubat pun sama, kalau diambil salah dos dan tidak pernah dipantau semula oleh doktor, kita tidak nafi ubat juga ada kesan sampingan ke aras buah pinggang. Contohnya, makan ubat kolesterol, akan menyebabkan enzim hati meningkat. Doktor akan memantau, kalau tinggi sangat dan tukar ubat atau berhentikan ubat itu dulu,” katanya.
Justeru, pesakit perlu menjalani rawatan susulan bagi memantau darah bagi memastikan organ seperti hati dan buah pinggang berfungsi dengan baik sepanjang pengambilan ubat-ubatan diberikan. – UTUSAN









