Elak nyanyuk, nenek pilih melukis

Elak nyanyuk, nenek pilih melukis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOLONGAN pesara berisiko tinggi untuk mengalami nyanyuk dan kemurungan setelah meninggalkan dunia pekerjaan. 

Bagi mengelak daripada terkena penyakit tersebut, bekas kerani berusia 70 tahun dari Ampang memilih menceburi seni dekoratif, yang dipelajarinya sejak 2012.

Walaupun tiada asas melukis tetapi ia bukanlah halangan buat Siti Rohani Noordin untuk meneruskan hasratnya itu. 

Di peringkat awal, nenek kepada empat cucu ini sanggup mengikuti kelas seni dekoratif selama hampir tiga tahun untuk mengukuhkan kemahirannya. 

“Saya langsung tidak tahu melukis, tetapi saya cabar diri dengan mencuba benda-benda baharu bagi menambah ilmu dan mencipta keseronokan. 

“Dalam masa sama saya dapat jumpa ramai orang, berkawan dan berborak-borak tentang hobi kami. 

“Saya kita jika asyik terperuk buat kerja rumah tanpa keluar berjumpa orang, nanti lagi mudah saya stres dan jadi pelupa,” katanya kepada Seri baru-baru ini. 

 

Setelah lebih sedekad bermain dengan berus dan warna, jari-jemari Siti Rohani masih aktif berkarya hingga kini. 

Baginya seni melukis bukan sekadar menjadi hobi di masa lapang, bahkan terapi dan hiburan di kala sunyi. 

Istimewanya, permukaan yang dilukis bukan di atas kanvas tetapi, pada barangan perabot dan peralatan dapur di kediaman. 

Antaranya ialah almari buku, meja konsol, bekas sudu, teko, tin Milo, dulang, piring di samping botol-botol. 

Perabot paling besar dilukisnya ialah pada almari buku diikuti hiasan pada atas meja konsol dan kemudian diteruskan pada teko, dulang dan tin. 

Menariknya, secara tidak langsung hobinya itu dapat memberi nilai tambah dalam menyerikan dan mengindahkan lagi suasana kediaman rumahnya. 

ROS PALING MENCABAR 

Siti Rohani mengakui yang seni dekoratif tidak semudah disangka dan terpaksa mengambil masa lama untuk menguasai teknik itu. 

Ada ketikanya, timbul rasa sedih kerana masih gagal untuk menghasilkan motif bunga-bungaan yang cantik. 

“Mula-mula memang ada rasa down, namun dengan latihan berterusan dan sokongan di dalam kelas, lama-kelamaan teknik lukisan beransur jadi baik.

Begitupun, seni adalah subjektif, mungkin pelukisnya menganggap karya yang dihasilkan cantik, tetapi tidak di mata orang lain,” katanya. 

Siti Rohani menjadikan guru kelasnya sebagai pakar rujuk utamanya dalam mengasah bakat melukis. Antara pesan guru wanitanya itu ialah untuk menggunakan kreativiti bagi menambah baik setiap lakaran dihasilkan. 

“Contohnya, jika bentuk bunga dirasakan tidak menjadi, mungkin boleh ditambahkan lagi kelopak di mana-mana,” katanya yang mengakui motif bunga mawar antara yang paling mencabar untuk dihasilkan dalam kesemua jenis flora kerana bunga berkenaan memiliki mangkuk dan kelopak yang banyak. 

LAKAR, LOREK 

Proses melukis dimulai dengan melakar bentuk terlebih dahulu sebelum proses mewarna dilakukan Untuk mewarna pula, teknik lorekan atau shading digunakan bagi memberikan kesan tiga dimensi dan visual yang lebih realistik. 

Perkakas yang digunakan ialah warna akrilik, berus dan varnis. 

“Biasanya saya warnakan dahulu dan kemudian baru buat shading, contohnya gelapkan di bahagian tertentu. 

“Lukisan itu kemudian dibiarkan kering satu atau dua hari sebelum diletakkan varnis yang bertujuan melindungi daripada kerosakan,” katanya. 

Tempoh siap bergantung kepada saiz lakaran dan jika coraknya mudah, cuma mengambil masa kira-kira tiga hari sahaja. 

LUKIS PADA BOTOL 

Terbaharu, ibu kepada dua anak berusia 41 dan 44 tahun ini meneruskan bakat seninya pada botol-botol terpakai di rumah. 

Melukis pada botol perlu menggunakan warna jenis multisurface khusus untuk permukaan licin seperti kaca dan plastik. 

“Oleh kerana saya belum ada warna khas itu, saya cuba eksperimen dengan menggunakan warna akrilik. “Prosesnya jadi lebih rumit kerana saya perlu mewarna semula sehingga tiga kali dengan setiap satunya dilapisi varnis tebal. 

“Tetapi, siapa sangka percubaan saya berjaya kerana bentuk lakaran dan warna tidak tertanggal sekalipun dibasuh berkali-kali,” katanya. 

Varnis membantu melindungi lukisan pada botol agar tidak luntur atau terpadam terutama apabila dicuci. Siti Rohani turut kembangkan seni dekoratif itu pada beg di samping piring-piring peninggalan Allahyarham iparnya 

 

SAYANG NAK JUAL 

“Tidak berhasrat menjual karya ini kerana ia dihasilkan dengan sepenuh kudrat dan kasih sayang,”. 

Itu reaksi Siti Rohani waktu saya bertanya mengenai koleksinya yang banyak itu. 

Akuinya, hatinya juga berat untuk menyerahkan kepada orang lain kerana bimbang ia tidak dijaga dengan sewajarnya. 

“Anak-anak menyarankan saya jual tetapi saya belum bersedia untuk berbuat demikian kerana semua hasil seni itu umpama ‘bayi sulung’ yang perlu sentiasa disayangi. 

“Saya bertungkus-lumus siapkan dan jika tidak dihargai ‘penjaga baharu’ tentulah saya sedih,” katanya. 

 

KAWAN BAHARU 

Kelas seni dekoratif menjadi platform terbaik buat Siti Rohani menambah kenalan baharu terutama yang berkongsi minat sama. 

Katanya, ketika kali pertama mendaftar kelas itu, kesemua mereka tidak mengenali antara satu sama lain. 

Kebanyakannya adalah di pertengahan usia dan masih bekerja, dengan dirinya seorang sahaja pesara. “Di peringkat awal ada 12 orang kesemuanya yang belajar dan kami sangat akrab. 

“Tetapi dek kerana sebahagiannya sudah berpindah, kini cuma tinggal saya dan tiga lagi kawan yang masih berjumpa dan melukis bersama-sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×