Kehilangan insan tersayang sumber kekuatan Liena Montana - Utusan Malaysia

Kehilangan insan tersayang sumber kekuatan Liena Montana

Nor Shahlina Abu atau Liena Montana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJAYAAN tidak pernah datang sekelip mata. Setiap pencapaian sudah pasti ada cerita disebaliknya, yang menjadi titik permulaan kepada sesuatu perubahan dalam hidup.

Usahawan, Nor Shahlina Abu atau lebih dikenali dengan Liena Montana, 38 tidak terkecuali di duga.

Kesempitan hidup hingga hampir-hampir kehilangan rumah, pada masa sama kehilangan orang tersayang mendorong dirinya untuk melakukan perubahan dalam dirinya. Menambah rezeki demi kelangsungan hidup.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nor Shahlina memberitahu tanpa diduga dengan kesukaran, barangkali dia tidak tahu bagaimana rasanya mencipta kejayaan menerusi bidang perniagaan seperti hari ini.

“Saya terpaksaan mencari duit berganda kerana tidak mahu kehilangan rumah. Daripada situlah saya mulai berjinak-jinak berniaga secara atas talian sekitar 2017. Meski ilmu perniagaan cukup cetek waktu itu, saya paksa diri,” katanya.

Dalam kepayahan, dugaan datang lagi menghimpit Shahlina apabila beliau kehilangan anak ketiganya yang dijemput pulang ke negeri abadi.

“Cukup hari ketiga kematiannya, saya jalani hidup macam biasa kembali masuk ke pejabat.

Tanpa sedih, tanpa air mata sebab saya sedar diri ini perlu menjaga hati lain yang masih halus dan penuh luka.

“Hanya orang yang pernah kehilangan anak sahaja memahami perasaan ini. Rasa seperti hilang cahaya dan tawa. Saat masih mencuba untuk redha, saya perlu bekerja demi kelangsungan hidup keluarga,” katanya.

Dalam diri sedang mencuba untuk bangkit, setahun selepas itu, beliau diuji lagi dengan kematian ayahnya.

“Ia bagaikan satu lagi tamparan hebat sebab ayah merupakan kekuatan saya. Perginya ayah seolah-olah dia masih bersedih dengan keadaan hidup saya yang masih terumbang-ambing,” katanya.

KUMPUL KEKUATAN
Sedar bahawa hanya diri sendiri mampu mengubah jalan hidup, Shahlina cuba mengumpul semula segala kekuatan dengan menyibukkan diri selepas waktu pejabat untuk memulakan perniagaan.

“Ketika itu saya nekad, cuba buat sesuatu untuk ubah hidup keluarga demi anak-anak. Saya tahu tak akan ada siapa pun dapat tolong dan bantu hidup kita melainkan diri sendiri. Waktu itu, saya cuba buat mobile spa,” katanya.

Hasil kerja keras dan tidak putus asa, empayar perniagaannya berkembang jauh sehingga ke negara jiran. Malah, Shahlina juga berupaya memegang ramai ejen di beberapa negara luar.

Disebabkan itu jugalah Shahlina telah dilantik menjadi Master Partner bagi produk Cococurv dan Crystal C White.

“Saya tak belajar tinggi. Habis sekolah terus cari kerja memandangkan keadaan orang tua yang uzur masa itu. Tapi Alhamdulillah pekerjaan pertama sebagai setiausaha sebuah syarikat aeroangkasa, memberikan pengalaman berharga buat saya sebelum berniaga.

“Lantikan untuk kedua-dua produk itu juga menambahkan lagi semangat saya untuk meraih lebih banyak kejayaan. Maklumlah, dari situ baharu kita dapat merasa banyak kelebihan. Contohnya, bonus, percutian dan banyak lagi hadiah pencapaian mengikut pendapatan syarikat,” katanya.

Shahlina (depan kanan) bergambar bersama sebahagian pasukan yang menjadi tulang belakangnya dalam memperkasakan perniagaan.

Bagaimanapun, kata Shahlina, tentu ada dugaannya juga apabila memiliki ejen negara luar sementelah membabitkan urusan keluar masuk barang dalam kuantiti besar dan banyak.

“Semua urusan pengambilan, pembungkusan dan penghantaran saya lakukan sendiri. Pernah satu tahun itu, hampir sebulan saya tidur dan bersahur di lapangan terbang kerana menunggu pesawat ejen luar dan barang berangkat.

“Penghantaran melalui mel udara dan kargo sekalipun, keadaan itu tidak tentu masa dan saya uruskan sendiri demi memastikan keselamatan barang dan melancarkan urusan,” katanya.

Kagumi Tan Sri Syed Mokhtar
Melihatnya sebagai seorang wanita yang berdedikasi dan komited dalam bidang yang diceburi, Shahlina mengaku dia begitu mengagumi Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor Al Bukhari. Kejayaan tokoh itu adalah inspirasi buat Shahlina untuk belajar mendalami bidang penuh risiko ini.

“Secara peribadi saya kagumi beliau kerana bukan sahaja dia berjaya dalam dunia perniagaan, bahkan bijak dalam daya fikir yang tinggi.

“Beliau juga banyak membantu masyarakat dalam menyumbang kepada tanggungjawab agama dan sosial.

“Kalau boleh, saya nak jadi macam beliau dan tentunya mahu memberi manfaat kepada semua orang menerusi kejayaan yang ditempa,” katanya.

Wanita kena bangkit
Tersipu-sipu malu saat dilayangkan kata pujian bahawa dia layak bergelar wanita kuat, kata Shahlina, sekiranya gelaran itu mampu memberi inspirasi buat lebih ramai kaum wanita dan ibu di luar sana, maka apa salahnya.

Ini kerana baginya, setiap wanita sebenarnya adalah seorang superwoman dan kerana itulah, walau ditebak dan diduga dengan pelbagai rintangan di kiri dan kanan, wanita tetap kuat dalam menguruskan kehidupan buat keluarga.

“Tetapi betul, semua itu tidak mudah. Terus terang saya buat tanpa henti dan bangkit setelah kejatuhan selain melalui kehilangan dalam hidup. Betul lah kata orang, kita tak akan dapat semua benda yang kita inginkan.

“Adakala kita perlu melepaskan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik dan besar. Tiada istilah tak boleh, tak sempat dan tak minat dalam dunia sekarang untuk meningkatkan taraf hidup sendiri. Tak selamanya bantuan akan datang bergolek.

“Nasihat saya, wanita sekarang perlu berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Tak rugi kita memiliki kemahiran lebih dari menjadi ibu rumahtangga sahaja. Nak berjaya juga tak perlu tunggu menjadi pengasas, jual produk orang pun boleh buat duit,” katanya.

Shahlina, berkata, mana-mana wanita yang mahu berjaya, harus berpegang kepada ‘mantra’ – anda harus mulai berani melangkah.

“Jangan berasa selesa di satu titik atau zon. Satu langkah yang dibuat dengan keberanian pasti akan memberikan pelajaran dan impak baik ke depannya. Impian besar yang saya simpan dan nak realisasikan sekarang, ialah mahu cuba membantu lebih ramai wanita dan keluarga di luar sana keluar daripada masalah kewangan.

“Bagaimanakah caranya, kita semua perlu bergerak dan sama-sama mulakan dari sekarang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×