38,597 hektar hutan simpan kekal diceroboh

38,597 hektar hutan simpan kekal diceroboh

KEMENTERIA Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak akan memberikan sebarang kelulusan Surat Skim Pengendalian Melombong bagi aktiviti perlombongan di kawasan pemeliharaan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK). - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di semenanjung semakin menge­cil apabila sejumlah 38,597.65 hektar kawasan itu diceroboh dan diteroka secara haram oleh masyarakat tempatan serta Orang Asli.

Luas kawasan yang diceroboh berdasarkan rekod Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sehingga tahun lalu itu menyamai saiz kira-kira 54,000 padang bola sepak.

Penerokaan hutan secara haram dibimbangi mengancam kepupusan flora dan fauna, hakisan tanah yang serius selain menyumbang kepada pemanasan global.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kewujudannya berfungsi sebagai kawasan tadahan air, menstabilkan oksigen di permukaan bumi, menyeimbangkan ekosistem dan sebagai penampan hakisan.

Menurut JPSM, Pahang mencatatkan penerokaan ha­ram tertinggi dengan keluasan 12,031.77 hektar diikuti Kelantan (9,098.52 hektar), Perak (4,507.79 hektar), Selangor (3,660.07 hektar) dan Negeri Sembilan (3,359.38 hektar).

Selain itu, katanya, kawasan hutan simpan yang diteroka secara haram pada tahun lalu itu menunjukkan peningkatan seluas 768 hektar berbanding 2022.

“Pencerobohan kawasan ini melibatkan aktiviti pertanian seperti tanaman kelapa sawit, pokok getah, buah-buahan dan tanaman kontan.

“Terdapat juga kawasan yang diceroboh untuk tujuan takungan air, aktiviti akuakultur seperti kolam ternakan seperti udang, ikan, kawasan ternakan lembu, kambing di samping penempatan seperti rumah, bangunan kecil dan perkampungan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas JPSM, antara langkah proaktif yang diambil dalam membanteras aktiviti penero­kaan haram dalam kawasan HSK dengan pemerkasaan operasi Pusat Pemantauan Sumber Hutan (War Room@JPSM).

Katanya, Pusat War Room@JPSM menjalankan pemantauan menggunakan imej satelit terkini secara berterusan bagi keseluruhan 595 HSK di Semenanjung Malaysia secara harian dan menYasarkan ke­seluruhan kawasan HSK.

“Maklumat-maklumat peri­sikan hasil pemantauan itu di­salurkan kepada Pengarah Perhutanan Negeri yang berkaitan untuk pengesahan dan semakan di lapangan. Tindakan pe­nguatkuasaan dijalankan sekiranya terdapat kes kesalahan hutan.

“Seterusnya, pasukan pe­nguatkuasaan hutan di Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) me­laksanakan rondaan secara berterusan sama ada pemantauan melalui darat, sungai atau pemantauan udara (dron atau helikopter) ke atas kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot dan kawasan-kawasan lesen atau permit bagi mencegah pencerobohan atau penerokaan kawasan HSK,” katanya.

Menurut JPSM, pihaknya turut mengadakan operasi secara bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan di negeri-negeri dan daerah-daerah.

Katanya, ia termasuk agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pejabat Tanah Daerah dan Jabatan Perhilitan.

“Selain itu, menjalankan semakan secara terancang dan berkala ke atas kawasan-kawasan Lesen Usahasil, Permit, Lesen Kecil dan Industri Berasaskan Kayu (IBK) dan me­ngadakan operasi sekatan jalan raya bagi mengesan aktiviti pengeluaran secara tidak sah,” katanya.

Dalam pada itu, JPSM berkata, penglibatan semua pihak dalam pemeliharaan dan memulihara kawasan berhutan adalah kaedah terbaik dalam menjamin hutan mengekalkan fungsinya.

Ujarnya, antara usaha-usaha yang boleh dilakukan secara bersama adalah masyarakat setempat sebagai ‘mata-mata’ JPN dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam melaporkan aktiviti pencerobohan haram.

“Masyarakat dan pemegang taruh (perlu) melibatkan diri secara aktif dalam program-program pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang dijalankan oleh jabatan.

“Ibu bapa (boleh) melibatkan diri dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran anak-anak dalam menyemai minat terhadap kepentingan hutan kepada manusia,” katanya.

Pada masa sama, sebahagian pihak berkuasa negeri perlu mengubah fokus kawasan berhutan sebagai sumber pendapatan kerajaan negeri melalui pembalakan dan sumber mineral kepada kawasan hutan boleh memberikan manfaat yang lebih besar melalui sumber yang boleh diperbaharui seperti pasaran karbon.

“Pihak berkuasa negeri perlu memberi tumpuan dan peruntukan khas dalam program pengekalan kawasan HSK dan pemuliharaan serta pemeliharaan hutan dan mengambil tindakan aktif dalam mewartakan kawasan tanah kerajaan kepada kawasan HSK,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini