MENIKMATI hidangan beraneka jenis di restoran atau mana-mana cafe sudah menjadi kelaziman dan mainstream bagi sesiapa sahaja. Bagaimanapun, ia menjadi satu kelainan dan pengalaman
baharu sekiranya berkunjung ke Aras Restaurant yang terletak di Menara Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan terutamanya makan malam.
Paling penting pengunjung bukan sahaja dapat menjamu selera ala bufet apabila datang ke sini, sebaliknya dapat menjamu mata melihat pemandangan daripada sudut pandang atas ibu kota setinggi 282 meter.

Bagi mereka yang tidak pernah ke Aras Restaurant dan masih tertanya-tanya tentang jenis makanan, terdapat beberapa menu wajib dicuba di sini.
Aras ResTAURANT
Lokasi:
Menara Kuala Lumpur, TH02. 2 Jalan Punchak, Off, Jalan P. Ramlee, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
Waktu Operasi:
11.30 pagi -10.30 malam
Makanan:
Masakan Melayu dan Barat.
Antaranya, ikan stim ala Thai. Menu ini dicampur bersama herba dan bahan segar seperti cili padi, daun limau purut, halia dan lengkuas untuk memberikan kombinasi rasa pedas, masam serta masinnya yang sekata serta sempurna.
Malah, ikan siakap digunakan segar dan mempunyai kuah yang agak banyak serta sedap lebih-lebih lagi apabila dimakan bersama nasi.

Pengunjung mempunyai dua pilihan nasi yang boleh dimakan bersama lauk ini iaitu rice chick pea atau nasi kacang kuda dan nasi putih.
Ada baiknya menu ini dimakan bersama sambal udang atau daging masak halia bagi memberikan kepuasan berganda.
Bukan itu sahaja, untuk pengunjung yang mahukan menu ayam boleh mencuba kari nyonya yang tidak terlalu pekat dan tidak pedas.
Cuma pada pandangan saya, rasa karinya biasa dan tidak sebagaimana di restoran lain yang mengetengahkan menu sama.
Namun begitu, serawa durian di sini sememangnya tidak mengecewakan dan sangat enak lebih-lebih lagi dimakan bersama pulut yang sungguh lembut.
Rasanya pula tidak terlalu manis dan pekat lebih-lebih lagi diperbuat daripada durian jenis Musang King.
Bukan itu sahaja, pengunjung boleh menikmati lebih 70 jenis hidangan lain yang bukannya terhad kepada cita rasa tempatan semata-mata, tetapi hidangan antarabangsa seperti sushi dan menu Barat.
Dalam pada itu, Chef De Cuisine, Yasir Omar berkata, hidangan di restoran Aras akan ditukar setiap hari bagi memastikan kelainan tersendiri lebih-lebih lagi untuk pelancong dari luar negara.
“Setiap hidangan juga disediakan chef terkemuka. Terdapat 12 chef di sini yang dibahagikan mengikut seksyen masing-masing sama ada makanan Barat, pastri atau hidangan tempatan,” ujarnya.
Restoran Aras ini mampu memuatkan 180 sehingga 250 pengunjung dalam satu-satu masa dan dibuka setiap hari kecuali cuti umum Hari Raya Aidilfitri.
Harga yang dikenakan untuk hidangan bufet tengah hari adalah RM169 untuk dewasa manakala kanak-kanak (RM99). Bagi hidangan makan malam pula adalah RM199 (dewasa) dan RM119 untuk kanak-kanak.
Harga tambahan dikenakan untuk Jumaat sehingga Ahad iaitu RM189 untuk bufet makan tengah hari dan RM249 untuk makan malam. – UTUSAN










