JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menyokong penganjuran Program Sastera Lisan Negeri Johor (SALINJ) oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang disifatkan sebagai usaha memugarkan semula bidang sastera dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri K. Raven Kumar berkata, penganjuran program dwitahunan itu mampu menambah pelbagai input baharu yang dapat dikongsikan, khususnya kepada generasi baharu.
Menurutnya, usaha itu juga sebagai inisiatif bagi memperkayakan koleksi penerbitan bahan-bahan sastera lisan di negeri ini.
“Dengan penyertaan pars peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, sekali gus memaparkan bahawa banyak cerita rakyat negeri Johor yang boleh dikaji, dibaca dan dipertontonkan kepada khalayak umum.
“Sesungguhnya, sastera lisan menerusi cerita rakyat dapat memenuhi ruang penceritaan bermoral dan mengimbangi antara keperluan teknologi dan keperluan budi,” katanya merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah SALINJ di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, YWJ, di sini semalam.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam SALINJ 2024 yang menyaksikan juara membawa hadiah wang tunai RM1,000, tempat kedua (RM750) dan tempat ketiga (RM500).
Hadiah saguhati setiap kategori turut disediakan sebanyak RM200 dan turut dipertandingkan Slogan Kreatif yang juga menyediakan hadiah RM200.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah YWJ, Salina Taslim berkata, sastera lisan yang merangkumi cerita asal-usul, lipur lara, jenaka, cerita binatang, legenda dan mitos selain peribahasa seperti perumpamaan, pepatah, bidalan, pantun, seloka serta gurindam merupakan khazanah dan wahana penyampaian rakyat pada zaman dahulu.
“SALINJ kali pertama dianjurkan pada 2021. SALINJ 2024 merupakan edisi kedua penganjurannya.
“SALINJ menambah baik beberapa pengisian program seperti mengadakan Bengkel Asas Pengenalan Penulisan dan Penerbitan Cerita Rakyat, Pertandingan Lipur Lara Johor Kategori Kanak-kanak dan Kategori Dewasa,” katanya sambil memberitahu turut diadakan Pertandingan Mencipta Logo dan Slogan Kreatif.
Pertandingan Lipur Lara Johor Kategori Kanak-kanak adalah pendedahan awal penglibatan golongan cilik dalam membina ruang dan membentuk taman sastera lisan dengan kaedah yang lebih mesra terhadap mereka.
“Ini dapat dibuktikan dengan bilangan penyertaan yang tinggi dalam pertandingan itu,” katanya. – UTUSAN
Senarai nama pemenang
Pertandingan Mencipta Logo
- Muhammad Falihin Jasmi
- Nurfitri Aini Yusran
- Mustaqim Isa
Pertandingan Menulis Cerita Rakyat
- Mazni Md. Ramly (Lagenda Pulau Cawan)
- Idayu Abdul Said (Biawak Busuk Ke Kota Buruk)
- Norhazwany Arifin (Kisah Puteri Santan Bertapis dan Raja Malim Demam)
Pertandingan Lipur Lara Dewasa
- Mohd. Redzlan Abd. Wahid
- Rohaidah Yon
- Mohamad Haikal Aiman Abdullah
Pertandingan Lipur Lara (Kanak-kanak)
- Muhamad Afieq Zafry Md. Zulfikri
- Mohamad Affzaan Nasyhwan Hasbullah
- Jokmund Goh Tzen In
Pertandingan Slogan Kreatif
- Siti Zakiah Yacob
- Nurul Safarizatul Aizan











