Orang Asli ‘berkurung’ gajah liar ceroboh kampung

Orang Asli ‘berkurung’ gajah liar ceroboh kampung

SEBAHAGIAN kebun milik penduduk Orang Asli yang rosak diserang gajah liar di Kampung Gawin, Pos Gob, Gua Musang, Kelantan. – IHSAN ORANG ASLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Orang Asli di Kampung Gawin, Pos Gob di sini terpaksa berkurung dalam rumah ekoran seekor gajah liar menceroboh dan merosakkan hasil tanaman mereka sejak Khamis lalu.

Seorang penduduk, Anit Alik, 55, berkata, sejak itu hidup mereka dalam ketakutan apabila gajah liar terbabit turut berkeliaran di kawasan penempatan.

“Pada Khamis lalu kira-kira pukul 11.30 malam kami melihat sendiri gajah liar terbabit muncul di kawasan kampung dan berkeliaran berhampiran rumah penduduk.

“Kami hanya mendiamkan diri di dalam rumah dan berwas­pada kerana bimbang sekiranya haiwan liar itu bertindak merosakkan rumah,” katanya ke­tika ditemui semalam.

Sehubungan itu, Anit berha­rap pihak berkuasa berkaitan dapat membantu penduduk yang terkesan dengan serangan hai­wan liar itu.

Katanya, penduduk di peda­laman juga berharap proses tuntutan pampasan tanaman yang dimusnahkan gajah liar dapat dilakukan segera kerana masalah serangan haiwan liar sentiasa berulang se­tiap tahun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pekebun di daerah ini yang terkesan dengan serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka boleh membuat permohonan tuntutan pampasan melalui Pejabat Ahli Parlimen Gua Musang.

Katanya, pekebun yang terlibat perlu membuat laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku dan boleh hadir ke Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Gua Musang untuk mengisi borang tuntutan pampasan.

“Sejak akhir-akhir ini banyak berlaku gangguan haiwan liar terutama gajah di daerah ini yang turut merosakkan tanaman penduduk sehingga menyebabkan mereka menanggung kerugian.

“Saya difahamkan sehingga 31 Ogos lalu daripada RM10 juta peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) hanya RM343,000 yang digunakan untuk membayar pampasan. Jumlah ini membabitkan 95 mangsa yang terkesan dengan serangan haiwan liar di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×