Ikan Toman Bunga boleh bertukar warna - Utusan Malaysia

Ikan Toman Bunga boleh bertukar warna

Ikan Toman Bunga mempunyai pelbagai corak atau paten berbunga pada badannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CORAK atau paten berbunga pada badan, warna dan karakter yang ada pada ikan toman bunga menjadikan ikan hiasan itu lain daripada yang lain.

Jika wanita lain lebih sukakan haiwan manja sebagai haiwan peliharaan, berbeza bagi Maslinda Ishak, 44. Beliau lebih meminati Ikan Toman Bunga ini kerana tertarik dengan keunikan dan kecantikan dimiliki ikan itu.

Ikan toman bunga atau nama saintifiknya ialah Channa Marulloides memiliki nilai tinggi dalam industri akuarium kerana rupa bentuknya yang cantik.

MHaquatics ada berpuluh jenis ikan termasuk 40 spesies ikan toman.

Ia adalah spesies paling cantik dalam keluarga snakehead atau spesies ikan berkepala ular yang hidup di sungai atau air tawar.

Ujar Maslinda, dia tertarik dengan perubahan atau perkembangan tersendiri ikan toman bunga yang sering bertukar-tukar mengikut keadaan.

“Tidak seperti ikan lain, ikan ini ada progress atau perkembangan tersendiri. Semakin kita jaga atau grooming, ia akan menjadi semakin cantik. Grooming bermaksud penjagaan makanan yang betul, suasana rumahnya (akuarium) seperti lampu apa yang sesuai digunakan, latar belakang akuarium yang membuatkan ia aktif dan cara kita mengendalikan ia.

“Ikan toman bunga juga sangat aktif dan mempunyai aksi lincah. Paling menarik, ikan ini boleh kenal siapa tuannya apabila kerap berinteraksi atau menghabiskan masa dengannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MASLINDA ISHAK

Namun ujarnya, tidak boleh terpedaya juga dengan kecantikan ikan ini kerana ia tetap merupakan spesis bergigi tajam dan agresif.

BUKA SHOWROOM

Ujar Maslinda, disebabkan terlalu banyak ikan toman bunga ini di rumahnya sehingga tiada ruang lagi untuk meletakkan koleksi haiwan peliharaannya itu, akhirnya dia dan suami, Hussein Abdullah, 56, membuka showroom sendiri bagi menyimpan semua ikan kesayangannya.

“Bila semakin banyak dan tidak terkira jumlah ikan yang ada, maka kami membuat keputusan membuka showroom MHaquatics. Selain menyimpan koleksi, kami turut memberi peluang kepada orang ramai yang ingin melihat dan mengenali ikan-ikan hiasan terutama ikan toman bunga secara dekat,” katanya. Premis terletak di Petaling Jaya itu baharu tiga bulan beroperasi. Ada lebih 40 ekor spesies tersedia di situ.

Maslinda berkata, beza antara ikan toman bunga dengan ikan peliharaan lain seperti Arowana ialah aspek penjagaan yang mudah kerana ia tidak memerlukan oksigen khas. Sebaliknya ikan itu akan naik ke atas atau permukaan air untuk mengambil udara.

Begitupun kata Maslinda, ikan toman bunga itu kurang popular dalam kalangan pencinta ikan hiasan kerana ramai yang kurang pendedahan mengenai kewujudan ikan spesies ini, biarpun ia wujud sejak berkurun lalu.

“Ia kurang popular dalam kalangan orang ramai. Selain sukar ditemui dan didapati, ia juga kian pupus di negara kita. Bagaimanapun ia sangat popular dan mudah ditemui di Indonesia,” katanya.

HARGA CECAH RM3,000

Harga ikan toman bunga boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada saiz.

“Seperti anak ikan toman bunga, harga yang biasa dijual bermula RM50 hingga RM350 bagi saiz empat inci atau 10.16 sentimeter (cm).

“Manakala bagi saiz 12 inci atau 30.48 cm ke atas boleh didapati dengan harga RM2,000 hingga RM3,500 bergantung kepada corak dimiliki,” katanya.

Pelbagai spesies Ikan Toman Bunga dan corak yang berlainan mengikut baka serta kawasan didiaminya.

Spesies ikan toman bunga turut berbeza mengikut negeri dan ia boleh hidup lebih 30 tahun bergantung kepada baka.

“Setiap negeri berbeza dari segi corak bunga badan. Bagi saya, spesies ikan toman bunga dari Rantau Abang, Terengganu paling cantik.

“Saya ada spesies ini yang dibeli dengan harga RM3,000 yang kini berusia hampir lapan tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×