Sembilan pengikut GISBH masih berdepan siasatan

Sembilan termasuk isteri pemimpin, pengikut GISBH masih berdepan siasatan

Siasat GISBH
SEMBILAN individu termasuk empat isteri ahli lembaga pengarah dan pengikut GISBH tiba di Mahkamah Majistret bagi mendengar permohonan reman terhadap mereka di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tujuh wanita termasuk empat isteri kepada ahli lembaga pengarah syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang salah seorangnya warga Australia yang disambung reman sehari, semalam, belum lagi dibebaskan.

Situasi sama turut berlaku ke atas dua lagi lelaki yang diberi lanjutan reman selama dua hari sehingga hari ini.

Salah seorang peguam dalam pasukan pembelaan, Rosli Kamaruddin berkata, anak guam mereka belum menerima sebarang makluman atau arahan daripada pihak berkuasa sama ada dibebaskan dengan jaminan polis atau terus ditahan.

“Sebenarnya belum lagi bebas walaupun tempoh reman mereka ada yang tamat semalam dan hari ini. Semuanya bergantung kepada polis jika mereka membuka laporan lain selain permohonan reman baharu dibuat dan diluluskan, jadi mereka akan terus direman.

“Seperti yang berlaku kepada kumpulan utama siasatan yang melibatkan 24 individu terdiri daripada CEO GISBH, isteri, anak dan cucu Abuya, mereka semua hadapi siasatan lain dari Balai Polis Cheras, kemudian kalau reman untuk siasatan pertama tamat, mereka akan dibawa ke balai polis berkenaan untuk disiasat dan permohonan reman baharu dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelasnya, sehingga kini reman terhadap kesemua pemimpin dan pengikut GISBH yang ditahan diteruskan kerana sama ada polis belum menyerahkan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya atau Jabatan Peguam Negara belum mengeluarkan arahan supaya mereka dituduh di mahkamah.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan tujuh wanita dan dua lelaki masing-masing dijangka dibebaskan semalam dan hari ini apabila Mahkamah Majistret membenarkan mereka dilanjut reman selama satu dan dua hari bermula semalam selepas permohonan lanjutannya dibuat kali kedua di hadapan Majistret M. Mageshwary.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili kumpulan berkenaan ketika itu, Boestamam Ahmad memberitahu, pembebasan daripada reman adalah prosedur biasa jika tiada pertuduhan dibuat dalam tempoh tahanan di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

“Kalau ikut prosedur biasa, mereka sepatutnya bebas pada petang ini dan esok. Jaminan itu adalah jaminan polis, namun bergantung kepada pihak berkuasa untuk menentukan berapa orang yang boleh jadi penjamin,” katanya, semalam.

Terdahulu, kesemua yang direman berusia 18 hingga 55 tahun itu termasuk cucu kepada pengasas gerakan Al-Arqam, Ashaari Muhammad yang dikenali sebagai Abuya tiba di mahkamah kira-kira pukul 10 pagi.

Boestamam memaklumkan kesemua suspek sebelum ini ditahan di Rawang pada 27 September lalu.

Utusan Malaysia semalam melaporkan permohonan lanjutan reman terhadap 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH serta orang kanan dan pengikutnya diteruskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua 24 ahli yang direman selama lima hari sehingga hari ini akan ditahan semula bersabit satu kertas siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Menurutnya, polis turut memohon membekukan 206 akaun berkaitan kumpulan itu yang dianggarkan bernilai lebih RM1.35 juta.

Jelas Razarudin, setakat ini jumlah ahli GISBH yang masih dalam tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah adalah seramai 93 orang dengan 34 orang lagi ditahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012).

Menurutnya, kesemua direman berkait siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM (Pindaan) 2022.

Selain itu, Razarudin memaklumkan, pembekuan akaun GSBH melibatkan 205 akaun bernilai RM1.35 juta serta satu akaun bank bernilai AS$1,344.26 (RM5,688.80).

Katanya lagi, tindakan pembekuan akaun dan harta berkaitan GISBH diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×