Tidak tumpang populariti Tok T

Tidak tumpang populariti Tok T

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKALI imbas, wajahnya mirip kakak kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan persamaan itu terjawab kerana mereka sememangnya mempunyai pertalian saudara sebagai sepupu.

Namun, kelebihan itu tidak dijadikan tiket mudah untuk Ade Nor Aishah Abdul Rahim atau Aish Rahim, 33, mengecapi populariti dan glamor.

Sebaliknya, beliau selesa berusaha dari bawah untuk membina nama sebagai pempengaruh dan jurusolek profesional.

Kerja kerasnya membuahkan hasil apabila diangkat sebagai pemenang Beauty & Fashion Creator of the Year Anugerah TikTok baru-baru ini.

Walaupun kemenangan itu tidak disangka-sangka, namun beliau bersyukur dengan limpahan rezeki Allah.

Katanya, perjalanan yang dilalui sebagai pempengaruh tidak mudah kerana hanya bermula sebagai orang biasa tanpa ribuan pengikut.

“Video pertama saya yang mencuri perhatian ramai ialah tutorial sebelum dan selepas solekan yang dikongsikan akhir 2021.

“Malangnya waktu itu, saya terima banyak kecaman semata-mata kerana wajah saya berjerawat jika tanpa bermekap.

“Paling perit, bila ada yang menuduh saya tidak sedih dengan pemergian anak keempat selepas 13 hari dilahirkan, tahun lalu,” katanya kepada Seri.

Sementelah dirinya yang masih berpantang ketika itu, Aish enggan larut dalam kesedihan berpanjangan disebabkan kata-kata negatif netizen dengan pemergian bayi lelakinya, Muhammad Adam Hayder akibat penyakit jarang jumpa.

Wanita ini memilih untuk tidak mengambil peduli atau termakan dengan setiap hinaan tersebut.

“Tipulah kalau tidak sedih, tetapi saya tidak mahu melayan perasaan terlalu lama, risau nanti meroyan pula.

“Segelintir orang mungkin pilih untuk ‘berpuasa’ daripada media sosial tetapi saya masih teruskan macam biasa kerana ini adalah periuk nasi saya,” katanya.

Biarpun mencari rezeki di platform media sosial namun, tidak semua kandungan dikongsikan berkait dengan kehidupan peribadi.

Sebahagiannya masih dirahsiakan tanpa pengetahuan pengikut atau peminat.

“Ketika hamil lima bulan lagi doktor mengesahkan bayi saya mengalami paru-paru berlubang.

“Pengikut nampak saya gembira menerusi video-video solekan yang dikongsikan dan saya tidak pernah memberitahu tentang komplikasi kandungan sehinggalah selesai pengebumian arwah,” katanya sedih.

Penat dibanding-banding
Tidak dinafikan jelitawan ini memiliki kelebihan dan kreativiti dalam penghasilan kandungan video berbentuk transisi solekan.

Keadaan itu menyebabkan dirinya sering menjadi mangsa perbandingan dengan pempengaruh lain.

Ketika trend Asoka tular, hampir setiap hari beliau menerima lebih 20 tagged daripada para pengikut di ruangan komen.

“Apabila ada video individu lain tentang trend itu, mereka tulis tidak boleh lawan Aish Rahim sambil tag saya.

“Tindakan itu secara tidak langsung boleh membuatkan orang lain bergaduh dan marah sedangkan saya tidak minta untuk dibanding-bandingkan pun,” katanya.

Tegasnya, setiap individu mempunyai bakat masing-masing, justeru pengikut dinasihatkan tidak beremosi dan berbalah sesama sendiri.

Dalam pada itu, Aish berkata, pengikutnya bukan sahaja dalam kalangan rakyat negara ini malah, dari India dan Asia Barat.

Katanya, ia berkemungkinan kerana kandungan videonya yang berkonsepkan Bollywood.

Jaga tutur kata
Aish kini hamil sekali lagi dan dijangka melahirkan anak kelimanya Disember depan.

Sepanjang tempoh hamil, wanita ini cuba mengelak daripada sebarang tekanan terutama yang tercetus di media sosial.

“Saya selalu mengingatkan diri untuk sentiasa menjaga percakapan dan elak mengata orang lain.

“Ia penting supaya benda itu tidak berbalik kepada saya di masa depan,” katanya.

Aish turut berkongsi perkembangan terbaharunya yang bakal mengeluarkan gincu pada awal tahun depan.

Menariknya, produk tersebut akan dijual pada harga mampu milik serendah RM15.

Katanya, buah tangan itu merupakan langkah pertamanya dalam usaha untuk bergelar pengasas produk kosmetik.

Di sebalik kesibukannya, beliau bersyukur kerana suami, Muhammad Hafiz Zamrol Hizam, 32, banyak membantu meringankan beban dalam menguruskan tiga anak yang berusia antara lima hingga sembilan tahun.

Darah seni
Lahir dalam keluarga seni, Aish berkongsi rahsianya pernah memasuki pertandingan nyanyian berkumpulan di televisyen hingga bergelar naib juara, kira-kira 10 tahun lalu.

Kumpulan dikenali sebagai Death in Beat (DIB) itu dianggotai adik-beradiknya dengan abang dan adik yang bermain gitar serta dram manakala posisinya pula sebagai penyanyi.

Walaupun berperwatakan lembut, tetapi lagu-lagu nyanyian wanita ini adalah berunsurkan rock.

“Suara saya sedikit kasar dan lagu kegemaran saya ialah Sweet Child of Mine daripada kumpulan Guns N Roses,” katanya.

Selain seni suara, wanita bermata cantik ini turut berbakat dalam seni tarian dan merupakan penari kebudayaan Kuala Lipis, satu ketika dahulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×