KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sudah diketahui. Ia muktamad.
Rakyat di sana sudah membuat pilihan mereka. Mereka telah memberikan mandat kepada Syed Hussien Syed Abdullah daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti sebanyak 20,648 selepas meraih 27,995 undi berbanding Mohamad Haizan (Perikatan Nasional, PN) dengan hanya 7,347 undi.
Banyak pihak yang meminta saya mengulas mengenai perkara ini tatkala bermulanya hari pengumuman calon dan sehinggalah selepas keputusan pengundian pada 28 September.
Hari ini saya terpanggil untuk mengulas akan perihal ini memandangkan seolah-olah berlakunya situasi rumah siap, pahat berbunyi.
Bunyinya semakin kuat pula dalam sehari dua ini. Bunyinya datang bukan daripada rumah di seberang jalan tetapi daripada dalam bilik di rumah sendiri. Bagi saya, keputusan ini adalah sudah dijangka daripada awal. Tiada yang menarik atau luar biasa pun atas kemenangan ini, melainkan sekadar mengulangi sambutan kemenangan terdahulu.
Ia tidak sebagaimana profil DUN Nenggiri di Kelantan yang juga dimenangi BN. Ini adalah kerana profil DUN Mahkota sememangnya milik BN. Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2022 menang dengan penuh bergaya walaupun hanya majoriti 5,166 tetapi perlu diingat kemenangan itu adalah pada masa gelombang kemuncak penolakkan yang cukup kuat ke atas BN.
Lihat sahaja jumlah undi yang diperoleh calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu iaitu sebanyak 11,445 dan calon daripada PN pula adalah sebanyak 7,614 undi. Melalui data ini, cukup membuktikan DUN Mahkota sememangnya tegar milik BN. Ia bukan milik PH dan jauh sekali milik PN.
Saya tidak berminat mengulas mengenai PN kerana ternyata mereka bukan signifikan pun dalam konteks DUN Mahkota. Jujurnya, ujian dalam PRK kali ini sebenarnya adalah atas perspektif ketulenan dan keikhlasan rumah Kerajaan Perpaduan yang berusia 23 bulan ini.
PRK ini adalah pentas sebenar ujian bukan terhadap BN tetapi ujian terhadap tahap ketulenan sokongan DAP, PKR dan Amanah terhadap BN. Apabila kita bercakap tentang ketulenan dan keikhlasan, parameternya banyak tetapi yang paling mudah dan senang difahami ialah dengan melihat dari segi jumlah undi yang disumbangkan oleh khalayak masing-masing.
Dalam pilihan raya di Malaysia, jumlah kaum akan menentukan keupayaan kemenangan sesebuah parti. Dalam konteks DUN Mahkota, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 56 peratus adalah pengundi Melayu (36,497), Cina 34 peratus (22,447) dan India adalah 8 peratus (5,086) serta Sabah, Sarawak, Orang Asli dan lain-lain adalah (2,288).
Jumlah undi yang diterima Syed Hussien sebenarnya adalah lebih kecil daripada sepatutnya diperoleh melalui formula asas Kerajaan Perpaduan jika dipandukan kepada keputusan PRN 2022 iaitu 16,611 (BN) dan 11,445 (PH) = 28,056 undi.
Persoalan besar yang bermain kepada banyak pihak terutamanya pemimpin utama politik ialah di mana dan sebesar manakah signfikannya sumbangan PH (DAP, PKR, Amanah) kepada kemenangan BN?
Jadi dalam hal ini, saya hairan bagaimana seorang Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau dengan terbuka dan sembrono mengatakan BN umpama pesakit kencing manis tenat diselamatkan PH.
Polemik ini dilihat berterusan apabila Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong cuba sedaya upaya menjustifikasi kepada semua akan berjayanya DAP memainkan peranannya dalam menyeru masyarakat Cina mengundi Syed Hussien.
Dengan menggunakan data yang dibekalkan Institut Darul Ehsan (IDE) beliau mengatakan orang Cina yang keluar mengundi adalah sebanyak 49 peratus. Dalam hal ini kenapa Chin Tong memetik data daripada IDE sedangkan ia bukannya sumber data yang sah. Sumber data yang sah tentunya hanyalah daripada SPR.
Walau apapun alasannya, Chin Tong tetap tersilap jika menganggap kesemua undi Cina itu datang daripada usaha DAP. Tidak benar sama sekali kerana BN juga mempunyai komponen daripada kaum Cina iaitu MCA yang ternyata lebih Ikhlas dari segi kesetiakawanan.
Menurut Pengerusi Institut Strategik dan Analisis Dasar (Insap), Datuk Dr. Pamela Yong, terdapat seramai lebih kurang 4,000 ahli MCA di Mahkota dan melalui agen GOTV mereka. MCA berjaya mengeluarkan hampir 70 peratus daripada jumlah ahli mereka yang jika dikira secara mudah ialah seramai 2,900 orang. Ini adalah satu jumlah yang signifikan disumbangkan MCA.
Maknanya undi Cina yang diperoleh dalam PRK baru-baru ini tidak boleh diberikan kredit hanya semata-mata kepada DAP.
DAP GAGAL?
Saya boleh mengatakan DAP sebenarnya tetap gagal dalam mengurus dan membawa pengundi Cina yang pasti majoritinya sewaktu PRN 2022 dahulu mengundi PH (11,445) untuk keluar mengundi BN sebagaimana yang sepatutnya.
Dimanakah kegagalan DAP dalam menguruskan pengundi Cina mereka berbanding MCA? Pertama dari segi keahlian parti. MCA mampu membawa keluar pengundi Cina berasaskan keahlian dan lokaliti dengan sistematik serta teratur sementara DAP beranggapan keahlian merupakan perkara sekunder manakala isu semasa yang popular adalah elemen primer dalam menentukan corak sokongan.
Dalam konteks di Mahkota, ternyata elemen ini tidak banyak membantu memotivasikan pengundi Cina DAP untuk keluar mengundi. Syed Hussien hanya popular di mulut tetapi tidak sepenuhnya di hati.
Kedua, kegagalan DAP dalam mengurus isu sijil halal antara Teresa Kok dan Dr. Muhamad Akmal Saleh dengan berkesan dalam senario PRK. Sepatutnya sewaktu kempen pilihan raya berlangsung semua pemimpin DAP tidak mengulas atau mengupas isu ini kerana boleh menimbulkan rasa lebih marah atau tidak puas hati orang Cina terhadap calon UMNO.
DAP gagal membaca dengan tuntas isu ini akan menjadi batu penghalang politik yang besar kepada pengundi Cina. Jadi dalam hal ini, DAP sepatutnya belajar untuk memperbanyakkan ‘nada positif’ dalam kempen pilihan raya dan bukannya bermain dengan elemen kontroversi yang negatif.
Rumusan yang boleh dibuat DAP perlu menghentikan propaganda untuk menjustifikasikan mereka berkesan dalam membawa keluar pengundi Cina bagi PRK Mahkota ini. DAP perlu ikhlas menerima kenyataan bahawa mereka sebenarnya ternyata masih belum betul-betul mampu meyakinkan rakan serumah baharu (BN) dalam konteks memberikan kemenangan dengan majoriti yang sepatutnya lebih besar di DUN Mahkota.
DAP perlu belajar bagaimana penggabungan politik yang sebenar boleh menjadi satu perkara yang penting dalam menentukan perubahan landskap politik negara sebagaimana yang pernah berlaku sewaktu kemenangan Datuk Seri Wee Jack Seng (MCA) pada PRK Tanjung Piai.
PRK DUN Mahkota ini adalah merupakan ‘ujian asid’ sebenar kepada tahap keikhlasan, ketulusan dan kejituan politik antara parti-parti besar di dalam Kerajaan Perpaduan. –UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Masrizal Muhammad ialah bekas Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN).











