Estetika straight photography adalah tentang mencari keindahan dalam kesederhanaan dan ketulenan subjek. Ia menarik minat mereka yang menghargai keaslian dalam seni visual dan meraikan detik-detik subjek biasa yang membentuk kehidupan seharian.
Sebagai medium seni, straight photography memberi tumpuan kepada nilai kesenian imej dan mengutamakan fokus yang tajam, komposisi yang tepat serta perhatian teliti terhadap perincian dan memastikan setiap elemen dalam bingkai menyumbang kepada penggambaran subjek yang jujur.
Straight photography ialah salah satu medium seni tersendiri dalam bidang fotografi yang luas.
Secara sejarahnya genre ini muncul pada awal abad ke-20 sebagai tindak balas kepada imej-imej fotografi yang sering bergantung pada manipulasi dan kesan fokus lembut untuk mencipta imej seakan lukisan.
Intipatinya terletak pada keupayaannya menyampaikan keindahan, kerumitan dan realiti dunia sebenar tanpa bergantung pada peningkatan teknik pasca pemprosesan yang berlebihan.
Pendekatan fotografi ini berasaskan kepercayaan bahawa seni boleh didapati dalam keadaan biasa dan setiap hari.
Jurufoto straight photography sering mencari subjek yang mungkin diabaikan seperti landskap bandar, bentuk semula jadi, figura manusia dan mempersembahkannya dengan cara yang menyerlahkan struktur, tekstur dan bentuk yang wujud.

Gaya ini bukan sekadar mendokumentasikan realiti, tetapi mendedahkan kualiti estetik yang wujud di dalamnya.
Salah seorang jurufoto paling terkenal dengan karyanya dalam straight photography ialah Edward Weston (1886- 1958).
Weston seorang jurufoto Amerika yang kerjanya merangkumi estetika fotografi lurus dengan imejnya dicirikan oleh fokus yang tepat, perincian yang mendalam dan komitmen untuk menangkap subjek sebagaimana adanya tanpa manipulasi atau pengubahan yang berlebihan.
Karya terkenalnya Pepper No. 30 yang dihasilkan pada 1930 adalah contoh keupayaannya mencari keindahan secara biasa, mengubah objek mudah menjadi bentuk arca abstrak dan mempunyai nilai estetika tinggi.
Dalam era yang didominasi oleh manipulasi digital dan imej yang banyak disunting, straight photography menonjol sebagai keraian keaslian dan kesederhanaan.
Sebagai media seni, ia mencabar kedua-dua jurugambar dan penonton untuk menghargai dunia sebagaimana adanya dan bernilai untuk dipelihara dalam bentuk yang sebenar.
Manipulasi yang minimal, tidak seperti bentuk fotografi lain yang mungkin menggunakan penyuntingan berat, penapis atau teknik lain untuk mengubah imej, straight photography mengekalkan integriti tangkapan asal dan manipulasi yang sangat minimal.
-Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Fotografi dan Pengimejan Kreatif UiTM Perak.











