Sungai ini dah jadi tanah kubur dia – Isteri Sabari

Sungai ini dah jadi tanah kubur dia – Isteri Sabari

SUBHIAH Roslina Shahibi (tengah) bersama ahli keluarganya melihat lokasi disyaki tempat Sabari Baharom dicampakkan ke Sungai Padang Terap di Kubang Pasu. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: “Saya mungkin datang lagi kerana kawasan (su­ngai) ini sudah jadi macam tanah kubur dia. Saya dan keluarga juga akan mengadakan solat jenazah ghaib dan tahlil buat arwah.”

Demikian kata isteri kepada Sabari Baharom, 62, yang sudah reda sekiranya jasad pesara Felcra itu tidak ditemui setelah operasi pencarian di sepanjang Sungai Padang Terap, di sini dihentikan semalam.

Menurut Subhiah Roslina Shahibi, 57, operasi penca­rian jasad suaminya itu telah dilakukan dengan baik oleh pihak berkuasa selama tiga hari, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

“Kita dah tahu yang arwah memang sudah tak ada, keluarga reda dan terima ketentuan itu. Cuma harapan agar jasad ditemui tetap ada, andai tidak ada juga kita nak kata apa kerana ini semua atas keizinan Allah juga.

“Kita kan orang Islam, mana kita nak benda yang tidak elok. Kalau boleh kita nak semua yang elok dan baik, kalau mati pun nak benda yang baik dan nampak depan mata. Kalau tak ada, kita terima dan reda sahaja kerana mungkin itu janji Allah dengan dia,” katanya.

Subhiah yang berada di lokasi pencarian sejak Selasa lalu ditemui ketika hadir ke tebing Su­ngai Padang Terap di Wang Tepus, sebelum bergerak pulang ke Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, katanya, dia berpuas hati dengan operasi pencarian dilakukan pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang sudah mencuba sedaya upaya mengikut kemampuan mereka.

Operasi pencarian Sabari yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, di sini telah dihentikan apabila tinjauan mendapati, tiada kelibat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di lokasi.

“Namun, saya faham bahawa kes ini sudah lama berlaku iaitu pada 4 September lalu, jadi lebih kurang tiga minggu baru buat operasi mencari dan menyelamat (SAR) setelah suspek ditahan.

“Operasi ini saya rasa akan ada rumusan untuk menentukan jalan pendekatan yang akan diambil selepas ini,” tambahnya.

Kelmarin, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang ditahan polis Jumaat lalu.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×