Reman CEO GISBH disambung, 206 akaun nilai RM1.35 juta dibeku

Reman CEO GISBH disambung, 206 akaun nilai RM1.35 juta dibeku

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon menyambung reman terhadap 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), selain membekukan 206 akaun berkaitan kumpulan itu yang dianggarkan bernilai lebih RM1.35 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua 24 ahli yang direman selama lima hari sehingga hari ini akan ditahan semula bersabit satu kertas siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Permohonan sambung reman dibuat terhadap 24 ahli termasuk kepimpinan tertinggi GISBH termasuk CEO GISBH, isteri dan anak-anak bagi melengkapkan siasatan.

“Setakat ini kesemua 24 lagi ahli kepimpinan tinggi GISBH tidak ditahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012,” katanya kepada Utusan Malaysia,semalam.

Razarudin berkata, setakat ini jumlah ahli GISBH yang masih dalam tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah adalah seramai 93 orang dengan 34 orang lagi ditahan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012).

Menurutnya, kesemua direman berkait siasatan kes itu yang dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM (Pindaan) 2022.

“Mereka ditahan reman sekali lagi susulan satu laporan polis dibuat oleh mangsa di Cheras yang dieksploitasi suspek ketika bekerja di syarikat terbabit dan tidak menerima bayaran gaji,” katanya.

Selain itu, Razarudin memaklumkan, pembekuan akaun GSBH melibatkan 205 akaun bernilai RM1.35 juta serta satu akaun bank bernilai AS$1,344.26 (RM5,688.80).

Katanya, tindakan pembekuan akaun dan harta berkaitan GISBH diambil mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).

“Selain itu, kita turut membekukan pelbagai aset iaitu 31 kereta dan bas pelbagai guna serta 19 lot tanah.

“Sebanyak 19 kereta dan sebuah lori, wang tunai RM16,850, dua jam tangan jenama Amazfit dianggarkan bernilai RM600 serta pelbagai jenis haiwan dianggarkan bernilai RM230,000 turut disita,” katanya.

Sementara itu, PDRM mendapati sebanyak 12 pusat kuarantin dipercayai tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli GISBH yang bermasalah terletak di dalam dan luar negara.

Ia hasil pendedahan yang dimuat naik melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) sebelum ini.

Razarudin menjelaskan, siasatan lanjut mendapati 10 pusat kuarantin terletak di Malaysia manakala dua lagi adalah di luar negara iaitu Indonesia dan Turkiye.

“Siasatan lanjut terhadap 10 pusat kuarantin tersebut mendapati tiga daripadanya diserbu pada 21 September lalu manakala tujuh lagi pusat kuarantin didapati tidak beroperasi.

“Tiga pusat kuarantin yang diserbu adalah Air Bintan, Kota Tinggi (Pusat Perniagaan & Ikhwan Resort), Labu Lanjut, Sepang dan Batu Hampar, Perak,” ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya, siasatan pihak polis sehingga kini masih belum menunjukkan elemen-elemen lokasi tersebut dijadikan pusat kuarantin.

Dalam pada itu, ketika dita­nya dakwaan ada anak-anak yang dipisahkan daripada keluarga atau tidak dibenarkan kembali kepada keluarga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Razarudin berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak yang diselamatkan juga merupakan suspek yang disiasat dalam kes pengabaian.

Jelas beliau, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001, pihak JKM merupakan agensi yang diberikan kuasa oleh pihak mahkamah melalui perintah jagaan sementara untuk menempatkan kanak-kanak tersebut di bawah jagaan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×