Mahu pekerja asing, tapi tidak sudi terima

Mahu pekerja asing, tapi tidak sudi terima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak kebelakangan ini, wujud segelintir rakyat Malaysia yang menganggap kehadiran pekerja asing semakin mengganggu peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Malah, tular di media sosial dakwaan kononnya pekerja asing bukan sahaja mengambil peluang pekerjaan rakyat tempatan, malah menjadi pilihan sesetengah majikan kerana sanggup menerima upah lebih rendah dan bekerja dalam tempoh lebih panjang.

Isu ini timbul apabila Lembah Klang dipenuhi warga asing pada cuti umum Hari Maulidul Rasul dan Hari Kebangsaan apabila mereka mengambil kesempatan keluar bersiar-siar. Tidak kurangnya apabila ada mendakwa terdapat rakyat asing menjadi pemandu pelancong, tetapi ia telah dinafikan pihak terlibat. 

Sentimen itu bukan sesuatu yang baharu. Setiap kali isu kebanjiran pekerja asing dibangkitkan, timbul persoalan sama ada kehadiran mereka sebenarnya membantu menggerakkan ekonomi atau sebaliknya menutup ruang kepada rakyat tempatan.

Namun di sebalik rasa tidak puas hati itu wujud satu tanggapan yang sukar dinafikan. Banyak sektor yang dekat dengan kehidupan harian rakyat masih bergantung kepada tenaga kerja asing.

Daripada sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan, hinggalah pekerjaan sektor buruh dalam sektor perkhidmatan, pekerja asing mengisi kekosongan yang sukar ditampung sepenuhnya oleh pekerja tempatan.

Persoalannya, jika rakyat Malaysia mahu pekerja asing me­ninggalkan negara ini, siapa pula yang akan melakukan pekerjaan yang selama ini banyak bergantung kepada mereka?

Hakikatnya, isu ini bukan semata-mata mengenai pekerja asing mengambil pekerjaan rakyat tempatan. Ia turut berkait rapat dengan jenis pekerjaan, kadar upah, waktu bekerja, lokasi pekerjaan dan kesediaan rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan tersebut.

Ada pekerjaan yang mungkin tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyat tempatan bukan kerana tiada peluang, tetapi kerana gaji dan syarat pekerjaan dianggap tidak setimpal dengan beban tugas.

Dalam keadaan itu, majikan pula berdepan dilema. Mereka memerlukan pekerja untuk memastikan operasi berjalan, tetapi pada masa sama berdepan kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan yang mencukupi.

Pernah seorang pemilik restoran terkenal di Ipoh merugut sukar mendapatkan pekerja tempatan walaupun diberikan upah tinggi kerana tidak sanggup melakukan pekerjaan berkenaan.

Situasi berkenaan akhirnya mewujudkan kebergantungan orang luar. Selagi terdapat pekerjaan yang kurang mendapat sambutan rakyat tempatan, permintaan terhadap pekerja ­asing akan terus wujud.

Pada masa sama, kebimbangan mengenai kesan kehadiran pekerja asing juga tidak boleh diketepikan. Ia termasuk isu persaingan pekerjaan, tekanan terhadap kemudahan awam, penguatkuasaan imigresen serta kebajikan dan hak pekerja.

Justeru, penyelesaian kepada isu ini tidak boleh hanya tertumpu kepada mengurangkan atau menambah jumlah pekerja asing. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana negara mahu mewujudkan pasaran pekerjaan yang mampu menarik lebih ramai rakyat tempatan.

Jika mahu rakyat Malaysia mengambil alih pekerjaan yang kini banyak dilakukan pekerja asing, faktor gaji, produktiviti, automasi dan keadaan tempat kerja perlu diberi perhatian.

Pada akhirnya, Malaysia perlu berani menjawab satu persoa­lan yang semakin jelas  iaitu adakah kita benar-benar mahu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja ­asing, atau kita cuma mahu menikmati hasil kerja mereka tanpa mahu melihat mereka berada di negara ini?

Juani Munir Abu Bakar adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×