Ambil iktibar serangan kelui di Lubnan

Ambil iktibar serangan kelui di Lubnan

PENYATUAN bersifat konkrit di dalam kerangka dunia Islam boleh menoktahkan kekejaman Israel di Lubnan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini Asia Barat dikejutkan sekali lagi dengan taktik terbaharu Israel iaitu serangan kelui yang berlaku di Lubnan dan mengakibatkan lebih dari 2,000 rakyatnya mengalami kecederaan kritikal akibat daripada letupan tersebut.

Rejim Israel meletakkan sebuah bom bersaiz sederhana ke dalam kelui sebelum alat itu mula dieksport memasuki ke Lubnan untuk diguna pakai. Kelui yang dimiliki itu meletup pada waktu yang ditentukan dan berlaku serentak di serata daerah di Lubnan. Bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak juga tidak terlepas dari serpihan letupan tersebut.

Sebahagian besar daripada mereka mengalami kecederaan yang serius dan mengakibatkan kematian selain tidak kurang juga yang berhadapan dengan kecacatan seumur hidup seperti kehilangan mata juga tangan. Ini adalah satu bentuk jenayah terancang yang tidak dijangka dan blok Barat seolah-olah seperti tidak acuh dengan perlakuan jijik tersebut selain memilih untuk berdiam diri.

Israel mengangkat justifikasi dengan mengatakan bahawa mereka mahu meneutralisasikan gerakan Hezbullah namun prinsip Machiavellian sedemikian dilihat rakus menoktahkan nyawa sebilangan orang yang tidak berdosa. Dihujahkan serangan kelui itu merupakan satu signal yang lunak dan kesannya perlu direnungi sedalam yang mungkin.

Ini memperlihatkan lagi warna dan wajah sebenar komuniti antarabangsa yang hanya memilih untuk ‘menggesa’ tanpa mengambil apa-apa tindakan yang substantif untuk menangani jenayah terancang tersebut.

Dari hari ke hari, media rejim Israel mempamerkan usaha yang bersungguh dengan menerangkan kepada dunia objektif mereka adalah untuk menoktahkan keganasan Hamas dan Hezbullah di Gaza serta Lubnan namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sehingga hari ini di Palestin, lebih daripada 40,000 nyawa terkorban akibat dari serangan rejim Israel bersifat pukal itu. Penempatan pelarian dibedil dengan serangan udara, petugas kesihatan dan pengamal media dibunuh terang-terangan dan terdapat juga banduan yang dipenjarakan dan diperkosa oleh tentera Israel.

Malah mereka yang berlindung di bangunan seperti di sekolah dan hospital tidak terkecuali dari radar maut tentera Israel. Ini adalah satu kegilaan yang perlu ditamatkan serta-merta sementara rejim Israel pula seolah-olah berpesta dengan nyawa penduduk Palestin dan Lubnan yang dilihat seperti tidak lagi mempunyai nilai.

Tambahan pula, sokongan bersepadu yang diberikan oleh blok Barat seperti Amerika Syarikat (AS) yang tidak putus-putus menyalurkan senjata dan mendanai keperluan rejim Israel menunjukkan bahawa realiti keamanan global itu adalah retorik dan hipokrit. Apabila tentera Iran menyasarkan roket secara terus ke arah Israel pada April lepas, kita dapat lihat bahawa blok Barat berfungsi sepenuhnya melalui serangan lisan dengan mengecam tindakan Iran.

Namun, di dalam konteks serangan kelui di Lubnan, blok Barat mempamerkan kesopanan dengan menjaga tutur kata dan perbuatan mereka. Tidak kedengaran sebarang hentaman bersifat dasar yang disasarkan kepada rejim Israel. Terdapat segelintir media Barat yang memposisikan rejim Israel seolah-olah sebagai ‘mangsa’ dan bukannya pemangsa.

Dikuatkan lagi dengan perpecahan yang berlaku di dalam konteks dunia Islam dan akhirnya melorongkan jalan kepada kebuasan rejim Zionis untuk terus membunuh. Taktik mengejutkan seperti serangan kelui itu sememangnya diluar kotak pemikiran dan ia diolah tanpa diskriminasi dengan menyasarkan sepenuhnya kepada sesiapa sahaja.

Berkemungkinan besar taktik pengeboman kelui itu sudah dirancang berbulan lamanya. Dihujahkan bahawa fenomena ini perlu dijadikan iktibar kepada dunia Islam di luar sana kerana ia adalah satu kelicikan yang boleh berlaku di mana-mana sahaja dan bersifat rentas sempadan.

Selain itu, serangan itu juga memperlihatkan kepada dunia bahawa rejim Israel mempunyai ‘kepakaran’ yang luar biasa dan ini memposisikan mereka sebanyak tiga langkah ke hadapan berbanding lawan mereka.

NEGARA ISLAM PERLU BERSATU
Iktibar dari serangan kelui ini jelas dengan kunci kepada penoktahan tragedi berdarah di Lubnan dan Palestin ini adalah penyatuan yang bersifat konkrit di dalam kerangka dunia Islam.

Konsep seperti ‘penyatuan’ ini adalah kata nama yang sungguh asing dan jauh dari realiti kontemporari. Ini adalah resipi kejayaan Israel yang tidak dimiliki oleh dunia Islam.

Jika perbezaan ideologi politik boleh dinyahkan di dalam kamus hubungan antarabangsa dunia Islam maka tragedi berdarah di Palestin tidak akan menghiasi dada akhbar.

Malang sekali, kepentingan ekonomi mengatasi segalanya. Selain dari pemodenan infrastruktur ketenteraan, pembangunan inovasi ilmu juga adalah signifikan dan fundamental bagi untuk membendung segala bentuk kegiatan jenayah terancang berskala global yang diperincikan oleh rejim Israel.

Jika penguasaan ilmu gagal diterjemah ke dalam konteks aplikasi maka dunia Islam akan ditinggalkan jauh.-UTUSAN

DR. Ariff Aizuddin Azlan ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×