Lancar selepas setahun program ‘berjalan’

Lancar selepas setahun program ‘berjalan’

CADANGAN untuk mengadakan majlis pelancaran selepas setahun program berjalan memberi banyak manfaat dan tidak bersifat tergesa-gesa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS pelancaran sering kali dianggap sebagai satu acara penting bagi memperkenalkan program atau inisiatif baharu kepada umum. Pun begitu, penting untuk memastikan wang yang dibelanjakan tidak dibazirkan sebaliknya memberikan hasil positif dan mencapai matlamat ditetapkan.

Justeru, wajar untuk mempertimbangkan agar majlis pelancaran diadakan selepas setahun program berjalan apabila hasil yang diharapkan sudah mula terlihat. Ia sekali gus memberi ruang kepada pihak pelaksana untuk mengukur kejayaan dan cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut.

Ketika itu, data dan maklumat penting yang dikumpul dapat digunakan sebagai bukti keberkesanan program. Hal ini akan mengelakkan majlis pelancaran hanya sekadar acara seremonial tanpa makna sebenar, yang akhirnya membawa kepada pembaziran sumber kewangan dan tenaga. Dengan adanya bukti konkrit, pelancaran program dapat dilihat sebagai langkah pengukuhan dan bukannya hanya sekadar formaliti.

Dalam tempoh setahun, sebarang kelemahan dalam pelaksanaan program boleh dikenal pasti dan diatasi sebelum pelancaran rasmi dilakukan. Langkah ini bukan sahaja memastikan program berada di landasan yang betul, tetapi juga memberi gambaran kepada masyarakat bahawa inisiatif yang dilancarkan bukanlah percubaan semata-mata, sebaliknya satu usaha yang serius dan berkesan.

Dari sudut kewangan, melambatkan majlis pelancaran juga boleh memberikan penjimatan yang ketara. Dalam tempoh setahun, pelaksanaan program boleh dilakukan dengan lebih berhati-hati selain mengelakkan kos yang tidak perlu. Perbelanjaan untuk majlis pelancaran pula dapat disesuaikan mengikut kemampuan dan keperluan sebenar, berbanding melaksanakan pelancaran besar-besaran pada awal program yang belum berjaya. Ini akan memastikan wang dibelanjakan memberi pulangan berbaloi dan selaras dengan hasil yang diharapkan daripada program tersebut.

Selain itu, ia memberi peluang kepada media untuk melaporkan pencapaian sebenar program. Berbanding dengan pelancaran awal yang hanya berasaskan janji dan harapan.

Di samping itu, langkah ini memberi masa mencukupi untuk melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan. Dalam tempoh tersebut, pelbagai kerjasama boleh dijalin dan disempurnakan, yang akhirnya akan memberi manfaat kepada program tersebut.-UTUSAN

CHE RAHMAH AHMAD
Taman Bintang, Parit Sulong

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×