Saya amat tertarik dengan artikel bertajuk Tiada sehari pun udara bersih di Teluk Gong yang diterbitkan dalam Utusan Malaysia.
Sebenarnya puluhan malah ribuan kilang haram beroperasi di sekitar Klang dan Shah Alam. Dari kilang haram inilah punca semua kerosakan alam kepada penduduk bandar ini.
Kami, penduduk Klang semakin takut dengan kemunculan kilang-kilang baharu yang dibina hampir setiap hari di Klang.
Adakah semua kilang ini diluluskan dan diakui untuk beroperasi oleh semua jabatan terutama majlis daerah? Adakah kelulusan dilakukan dengan cara yang sah mengikut undang-undang, tatacara dan peraturan?
Adakah pihak berkuasa memeriksa dan monitor kilang-kilang ini? Adakah pihak negeri mengambil berat agenda pertumbuhan kilang haram?
Adakah semua aduan orang kampung di layan dan diatasi segera? Atau adakah wujud ‘lorong khas’ meluluskan kilang-kilang haram oleh petualang majlis bandar raya? Ini kerana mereka seolah-plah ‘lulus’ terus beroperasi.
Telah sampai masa pihak berkuasa, agensi penguatkuasaan atau jabatan berkaitan mengambil tindakan segera.
Saya menunggu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar penyelewengan terutama berkaitan jabatan perancangan dan penguatkuasaan.
Jarang kedengaran kilang-kilang haram di dua bandar ini dipalang atau diserbu penguat kuasa.
Adakah kilang-kilang haram ini kebal sebagaimana kebalnya pihak majlis bandar raya? ini kerana aduan-aduan penduduk seperti nyanyian pada mereka. Mereka lena di meja-meja pejabat berhawa dingin tanpa gangguan. Matlamatnya keuntungan diri semata. Bukan matlamat jabatan yang utama.
Tolong ‘cungkil’ pejabat, pegawai dan petugas jabatan-jabatan berkaitan perancangan dan penguatkuasaan. Tunjukkan mereka tidak melakukan sebarang penyelewengan dengan pertumbuhan kilang-kilang haram di dua bandar raya ini.
Tolong dan tolong, kemusnahan alam yang berlaku mustahil dapat dipulih dalam masa 30 hari!-UTUSAN
HAJI AMIN
Klang










