Life Water meterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank - Utusan Malaysia

Life Water meterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar minuman tempatan, Life Water Bhd. memeterai perjanjian taja jamin dengan MIDF Amanah Investment Bank Bhd. sempena tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 97 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 28.3 juta saham biasa sedia ada.

Life Water dalam kenyataan berkata, sejumlah 23.6 juta saham terbitan dan disediakan kepada orang ramai manakala 14.1 juta saham disediakan untuk permohonan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat dan anak syarikatnya. 

Pada masa sama, 560,000 saham yang disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan baki 59.1 juta saham disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dikenal pasti yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menurut perjanjian taja jamin itu, MIDF Investment akan menaja jamin sejumlah 37.85 juta saham terbitan untuk permohonan kepada orang awam Malaysia dan disediakan untuk permohonan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

“Life Water merupakan pengilang minuman yang fokus dalam pembuatan dan pengedaran air minuman dan minuman berkarbonat, terutamanya untuk pasaran Sabah serta terkenal dengan jenama K2, Sasa dan Air Sabah selain 2more dan Tritonic.

“Hasil kasar IPO Life Water diperuntukkan untuk inisiatif pengembangan perniagaan termasuk menambah keperluan modal kerja dan membiayai perbelanjaan penyenaraian.

“la termasuk pembelian barisan pembuatan air minuman tambahan untuk Kilang Sandakan Sibuga 1 dan penubuhan kiang pembuatan baharu, Kilang Sandakan Sibuga 2, dengan anggaran keluasan binaan 50,000 kaki persegi yang terdiri daripada kilang dan ruang pejabat,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Life Water, syarikat juga merancang untuk meningkatkan kemudahan pembungkusan plastik sedia ada di Kota Kinabalu, dengan Kilang KK 1Z8 1 akan ditukar menjadi kilang pembuatan pembungkusan plastik khusus untuk menyokong operasi minumannya.

Tambahan pula, Life Water merancang untuk menubuhkan pusat pengedaran kedua di Sandakan, dengan depoh untuk lori penghantarannya, kerana ruang pergudangan semasa digunakan sepenuhnya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Life Water, Liaw Hen Kong berkata, hasil daripada IPO itu membolehkan kumpulan mempercepatkan rancangan pengembangan termasuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan meningkatkan rangkaian pengedaran selain menyokong operasi yang semakin berkembang di seluruh Sabah.

“Ini menandakan babak yang menarik untuk Life Water kerana kami mengukuhkan kedudukan kami dalam industri minuman dan terus menyediakan minuman berkualiti pada harga yang berpatutan kepada pelanggan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×