PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memperkenalkan Sandbox Pengawalseliaan dan meningkatkan rangka kerja kawal selianya untuk menggalakkan tokenisasi sekuriti bagi membantu merangsang inovasi dalam pasaran modal.
Selain itu, SC juga akan bekerjasama dengan Khazanah Nasional untuk menerokai terbitan bon token.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, SC komited untuk memupuk ekosistem fintech yang berkembang maju dalam pasaran modal.
“SC mengambil pendekatan holistik dalam memacu inovasi dalam pasaran modal. Melalui inisiatif seperti regulatory sandbox dan SCXSC, kami menggalakkan eksperimentasi dalam industri dan memupuk kerjasama dengan ekosistem yang lebih luas,” katanya pada Sidang Kemuncak Fintech SCXSC 2024.
Jelasnya, menyedari kemajuan teknologi yang pesat, SC telah menerima beberapa cadangan yang tidak bersesuaian untuk dimasukkan dalam rangka kerja pengawalseliaan sedia ada.
“Bagi menangani perkara itu, SC memperkenalkan rangka kerja regulatory sandbox yang dapat menyediakan persekitaran terkawal untuk menguji produk dan perkhidmatan inovatif sambil memastikan perlindungan pelabur.
“Syarikat yang membangunkan penyelesaian dalam bidang seperti keterangkuman kewangan, kewangan Islam dan penyelesaian persaraan digalakkan untuk memohon,” katanya.
Sandbox ialah sebuah usaha kawal selia untuk meningkatkan dasar bagi memastikan kesesuaian tujuannya.
Sebagai contoh, ia mungkin membenarkan tawaran token yang inovatif diuji dalam sandbox, selaras dengan usaha SC untuk membangunkan pendekatan agnostik teknologinya untuk sekuriti token dan mengenal pasti amalan terbaik.
Dalam hal ini, SC akan membangunkan panduan awal pada tahun depan untuk syarikat pengantara memahami dan mengurus risiko berkaitan tokenisasi sekuriti.
Syarikat mempunyai masa sehingga April 2025 untuk memohon kohort pertama Sandbox. – UTUSAN










